SUSPEK MILITAN ABU SAYYAF DIJATUHI HUKUMAN



KOTA KINABALU: Dua individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengganas militan Abu Sayyaf dijatuhi hukuman penjara masing-masing empat dan lima bulan selepas mengaku bersalah masuk secara tidak sah ke negara ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azreena Aziz turut mengenakan hukuman satu sebatan terhadap kedua-dua tertuduh yang berasal dari Filipina itu.

Tertuduh pertama, Abdul Abrera, 39, yang masuk ke negara ini sejak tahun 1995 ditahan pada 10 November lalu di Kinarut, Papar, manakala tertuduh kedua, Majid Abu Bakar, 35, ditahan pada 8 November lalu di Ranau selepas masuk ke negara ini kira-kira dua bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum lima tahun.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, seramai 11 warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah tinggal secara haram di negara ini.

Semua tertuduh berusia 18 tahun hingga 55 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di beberapa daerah.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Asisten Superintendan Sabrina Jinius manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Berita Harian - 5 Disember 2018

Comments