Terdapat satu hantaran di Facebook yang mengaitkan kisah seorang ‘otai munafik’ pada zaman Nabi Muhammad SAW, Abdullah bin Ubai, dengan salah satu parti politik di Malaysia beserta dengan kenyataan ‘Politik tiup sentimen kaum, agama dan fitnah’.
Siapakah Abdullah bin Ubai?
Beliau adalah pemimpin golongan munafik. Sepanjang hidupnya dia bekerja keras dengan menghina Rasulullah SAW, mencegah perkembangan Islam, melagakan umat Islam antara satu sama lain dan telah melakukan banyak perkara untuk menghancurkan perpaduan di kalangan umat Islam ketika mana umat Islam sangat memerlukan perpaduan yang kuat. Disebabkan segala kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan oleh organisasi jahat yang diketuai Abdullah, banyak ayat dan bahkan satu surah lengkap yang diberi nama al-Munafiqun telah diturunkan.
Apakah kaitan kisah ini dengan politik?
‘Munafiqun’ bermaksud golongan orang munafik iaitu mereka yang berpura-pura beriman kepada Islam tetapi sebenarnya tidak mempercayainya di dalam hati. Dalam kes ini, dapat difahami bahawa pemilik akaun Facebook tersebut cuba menyampaikan mesej bahawa individu-individu yang terlibat di dalam sebuah parti politik di Malaysia adalah munafik kerana berpura-pura beriman tetapi pada masa yang sama memfitnah dan memecah belahkan umat Islam.
Fenomena politik kini, dapat dilihat bahawa begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang tuduh menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Demi kemenangan parti politik masing-masing, sanggup memfitnah, memunafikkan, mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan partinya meskipun sesama Islam. Kesamaan pada agama Islam tetapi berlainan ideologi politik sahaja telah melupakan prinsip sebagai umat Islam sehingga berlakunya perpecahan.
Seharusnya sebagai umat Islam, meletakkan agama paling tinggi adalah perkara yang perlu diutamakan berbanding politik. Hal ini kerana menurut Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadwi:
i. Fitnah yang tersebar luas dan tidak dapat dibendung akan menimbulkan implikasi yang buruk dengan menjejaskan keharmonian dalam masyarakat;
ii. Tuduhan jahat (munafik) dan fitnah walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar dipercayai, namun masih sahaja terdapat golongan yang terpengaruh dan mempercayai bahawa fitnah tersebut benar-benar berlaku;
iii. Tipu daya dan komplot daripada golongan kafir dan munafik untuk memecah-belahkan umat Islam dari dalam;
iv. Tujuan golongan munafik menyebarkan fitnah supaya timbul ketidakpercayaan kepada parti politik selain pegangannya.
Justeru itu, al-Quran telah memberi saranan untuk menghadapi fitnah dengan sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin, datangkan bukti atas setiap berita yang datang, jangan sesekali memperkecilkan dan meremehkan fitnah yang berlaku dan nasihat orang ramai agar jangan bercakap dan menyebarkan fitnah termasuklah menyebarkan berita melalui media sosial tanpa usul periksa di samping masing-masing mengutarakan pendapat tanpa pengetahuan sebenar. Banyakkan berdoa, moga Allah SWT menunjukkan kita perkara yang sebenar.
Sumber: SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Comments
Post a Comment