KEPENTINGAN MEMELIHARA KERJASAMA DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN NEGARA-NEGARA JIRAN DALAM MENINGKATKAN KESELAMATAN NEGARA



Malaysia terletak ditengah-tengah Asia Tenggara dan berkongsi sempadan darat dan maritim dengan lima negara serantau iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand. Salah satu daripada cabaran terhadap keselamatan negara pada masa kini ialah sempadan yang sukar dikawal. Malaysia menghadapi ancaman insurgensi komunis selama lebih dari empat puluh tahun, yang juga merupakan ancaman pada jiran-jiran lain. Selepas tamat insurgensi komunis pada 1989 dan berakhirnya Perang Dingin, tumpuan keselamatan beralih kepada isu keselamatan bukan tradisional seperti pendatang haram, jenayah rentas sempadan dan limpahan daripada ketidakstabilan politik negara-negara jiran. Ini ditambah pula dengan isu keganasan antarabangsa selepas peristiwa September 11, 2001. Bagi menangani ancaman keselamatan tersebut, Malaysia, seperti mana sebelum ini mengambil dasar bekerjasama dengan negara-negara jiran yang terlibat.


Malaysia memerlukan dasar luar dan keselamatan yang boleh menjaga kepentingannya dan di masa yang sama menjaga hubungan baik dengan jiran-jirannya. Untuk mencapai tujuan ini, Malaysia bukan sahaja memerlukan diplomasi yang cekap, tetapi juga perlu dimantapkan dengan kemampuan pertahanan dan keselamatan untuk mencegah ancaman terhadap negara. Dalam hubungan keselamatan, cara untuk menangani adalah berbeza antara sesebuah negara. Walaupun Malaysia-Indonesia mempunyai hubungan rapat dari segi sosial, budaya, etnik, malah agama, masih terdapat jurang politik, kepentingan ekonomi dan keselamatan yang memisahkan mereka.


Indonesia sebagai sebuah negara terbesar di Asia Tenggara masih mempunyai cita-cita besar dan keinginan mahu dihormati yang dimanifestasi dalam pelbagai bentuk dan cara. Tindak tanduk Indonesia sebelum ini pernah memperlihatkan sikap sebuah negara yang tidak menganggap Malaysia sebagai rakan semulajadi (natural partner). Semasa Perang Dingin, terdapat persepsi ancaman yang sama dan kemahuan politik untuk membendung ancaman tersebut. Tetapi dalam era globalisasi pasca Perang Dingin, walaupun  terdapat jurang perbezaan yang semakin ketara dengan munculnya beberapa isu yang masih tidak dapat diselesaikan seperti kemasukan PATI dan lain-lain, namun secara keseluruhannya, kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan keselamatan yang rapat, terutama melalui hubungan baik antara Angkatan Tentera mereka. Sebagai contoh, usaha membendung ancaman kumpulan terorisme seperti Kumpulan Jemaah Islamiyah pada suatu ketika berjaya dilaksanakan dengan baik adalah hasil kerjasama antara dua pihak iaitu pihak Malaysia-Indonesia daripada terus mengancam keselamatan negara.


Kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Filipina berdasarkan kepada kepentingan bersama, terutama di kawasan perairan Borneo dan kemasukan rakyat Filipina ke Sabah. Walaupun masih terdapat masalah seperti kebanjiran rakyat Filipina di Sabah, namun ia tidak menghambat hubungan baik antara kedua-dua negara. Sikap yang ditunjukkan oleh Filipina selama ini ialah memberi kerjasama kepada Malaysia dan mengakui adanya isu-isu yang memerlukan kerjasama dua hala. Keselamatan bersama menjadi prinsip utama dalam hubungan mereka. Begitu juga dengan negeri Thai yang melihat kepentingan keselamatan mereka lebih terjamin melalui pengekalan hubungan baik dengan Malaysia.


Kerjasama keselamatan antara Malaysia dan jiran-jirannya Indonesia, Filipina dan Thailand menunjukkan keyakinan dan kepercayaan bahawa masalah utama lebih cepat diselesaikan secara dua hala.


Sumber: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, Vol. 36: 16-40.

 

FOLLOW US:

http://facebook.com/alhaqcentremalaysia

http://al-haqcentre.blogspot.com

http://instagram.com/alhaqcentre


Comments