KONSEP WASATIYYAH (KESEDERHANAAN) DALAM ISLAM BOLEH MEMUPUK PERPADUAN DAN KEHARMONIAN KAUM DI NEGARA INI
Perkataan wasatiyyah diambil dari bahasa Arab yang bermaksud tengah, pusat dan seimbang. Dalam konteks Islam, ia merujuk kepada ‘jalan tengah’, iaitu cara yang adil dan pilihan hidup, mengelakkan keterlaluan dan mengalami perkara secara sederhana. Konsep wasatiyyah dalam Islam merupakan suatu mesej perpaduan sedunia yang penting bagi menepis segala persepsi buruk masyarakat dunia terhadap Islam.
Amat mudah untuk kita memahami apa itu konsep wasatiyyah, akan tetapi untuk melaksanakannya belum tentu dapat dilakukan. Ini kerana konsep ini penerangannya sangat meluas dan kerana tafsiran wasatiyyah itu sangat luas, masing-masing cuba memperlihatkan corak tafsiran tersendiri bagi menentukan hala tuju umat Islam. Ada yang cuba mentafsirkan wasatiyyah sebagai keseimbangan dalam mengamalkan ajaran Islam dan meletakkan sesuatu tanggungjawab pada haknya. Selain itu, ada aliran yang cuba mentafsirkan Islam sesuai dengan perkembangan moden pada hari ini dan melihat pembangunan itu sebagai keutamaan berbanding soal akidah dan akhlak Islam.
Mutakhir ini, keharmonian dalam kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar. Apabila ada pihak yang cuba mempolitikkan agama sama ada dalam kalangan penganut Islam atau bukan Islam. Situasi ini boleh mengundang perpecahan masyarakat terutama umat Islam dalam berbagai bidang kehidupan, menimbulkan keretakan sosial dengan pelbagai kritikan, tuduhan perang mulut antara satu dengan yang lain, fitnah dan tohmahan.
Oleh itu, apa yang harus dilakukan oleh kita sebagai umat Islam adalah dengan memberi gambaran bahawa konsep ini adalah sebuah mesej perpaduan kepada rakyat Malaysia bahawa dalam apa jua perkara, ia haruslah sederhana dan diseimbangkan agar semua pihak mendapatkan manfaat yang sama. Kemahuan untuk mencapai wasatiyyah ini merupakan kemahuan yang mencakupi aspek syarak dan pelaksanaan. Konsep ini ternyata bukan slogan semata-mata tetapi sebagai reaksi semua rakyat Malaysia agar memahami dan melaksanakannya.
Islam itu menyamaratakan antara semua. Allah tidak sebut secara spesifik tetapi kepada semua manusia secara keseluruhan ke arah kebaikan. Sesungguhnya perpecahan dan permusuhan sesama Islam adalah terang-terang bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya bersatu padu dan berpegang teguh dengan agama Allah SWT yang sebenar.
Firman Allah SWT:
“Berpeganglah dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah belah.” (QS ali Imran:103)
Sumber: Berita Harian “Wasatiyyah asas keharmonian pelbagai kaum” (18 September 2015) dan Blog berita Mstar “Kesederhaan Mampu Tepis Persepsi Buruk Terhadap Islam” (10 April 2014)
Comments
Post a Comment