Islam amat menekankan soal
kesepaduan dan kesepakatan antara sesama manusia. Bahkan, Islam yang
disyariatkan oleh Allah SWT ini juga menjamin kesejahteraan dan rahmat kepada seluruh
alam. Islam telah menyatupadukan banyak pihak dengan sifat rahmat, keadilan dan
kebenaran yang menjadi tunjang utamanya.
Ketika kita masih lagi
bertungkus-lumus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, sebahagian kita masih
lagi sibuk bertelagah dan menuding jari mencari salah. Sedarlah bahawa masalah
tidak akan selesai dengan kita menuding jari kepada pihak lain, bahkan ia hanya
akan merumitkan lagi keadaan. Sepatutnya, dalam keadaan sebegini kita perlu
menepikan terlebih dahulu sebarang perbezaan.
Tumpuan seharusnya diberikan kepada
usaha memerangi jangkitan wabak penyakit dan kepatuhan kepada garis panduan dan
S.O.P yang telah ditetapkan. Keutamaan kita pada waktu ini juga ialah untuk
memutuskan rantaian jangkitan, memulihkan ekonomi rakyat dan negara, serta
menstabilkan semula negara. Namun, kerana wujudnya perasaan tamak, fanatik, dan
rakusnya pada kuasa, menyebabkan sebahagian kita bertindak melulu tanpa
memikirkan kesan dan akibatnya.
Hentikanlah pertelingkahan dan
perbalahan kerana saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan
menyelesaikan masalah. Para pemimpin juga harus menunjukkan contoh teladan yang
baik kepada rakyat, begitu juga dengan rakyat sekalian agar terus memastikan
pematuhan disiplin dan kawalan kendiri yang baik. Berilah kerjasama dengan
mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kita dari
memberikan mudarat kepada orang lain atau menyusahkan tugas pengamal kesihatan.
Yakinlah kepada Allah, bahawa kita akan selamat dengan bersepakat.
Ketahuilah bahawa Islam sentiasa
menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik
sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia
untuk memaafkan antara satu sama lain. Sebaliknya nilai-nilai mulia ini hendaklah
dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling
memerlukan antara sesama anggota badan yang lain.
Sabda Rasulullah SAW:
“Kamu dapati orang-orang mukmin dalam berkasih sayang,
bermesra dan berbaik-baik sesama mereka sama seperti tubuh badan, apabila
mengadu sakit salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan yang lain
akan berjaga malam dan turut merasai sakit yang sama.” (HR al-Bukhari).
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Comments
Post a Comment