BERHATI-HATILAH DENGAN IDEOLOGI ISLAM LIBERAL!!! LANTANG MEMBUAT PENOLAKAN TERHADAP PERUNDANGAN ISLAM DAN CUBA MEMBUAT TAFSIRAN TERSENDIRI PADA HUKUM-HUKUM ISLAM DEMI ‘MENGHALALKAN’ TINDAKAN MEREKA

 

Sudah acap kali diterangkan bahawa pemikiran liberal ini mendukung doktrin untuk memisahkan urusan keagamaan dari kehidupan manusia. Ayat al-Quran yang menekankan prinsip ‘tiada paksaan dalam beragama’ dijadikan sebagai paksi dan ‘menghalalkan’ kebebasan dalam bertindak dan ianya merupakan perkara asasi bagi setiap manusia yang tidak boleh diganggu gugat.

Oleh sebab itu golongan Islam liberal berani membuat penolakan terhadap undang-undang Islam dan dengan lantang menimbulkan polimik idea yang sangat janggal dengan menimbulkan persoalan “Kalau Allah itu Maha Adil atau kalau Islam itu adil, mengapakah ada undang-undang dan polisi-polisi Islam mencetuskan ketidak adilan?”Apabila mereka merasakan ada kepincangan dalam Islam, lalu mula mencari penyelesaian dengan tafsiran tersendiri. 

Tindakan golongan Islam liberal ini seakan-akan tampak seperti membela Islam, namun hakikatnya ibarat ‘si tikus membaiki labu’. Maka tidak hairanlah jika mereka mengkritik pelaksanaan hukum syariah dengan pelbagai hujah yang dilihat selari dengan pandangan orientalis Barat yang menganggap hukuman syariah itu zalim dan tidak selari dengan peradaban moden. 

Pelaksanaan hukum syariah juga dianggap sebagai langsung tidak memberi keadilan malah menindas kaum wanita sekalipun jelas sekali syariat Islam itu membela dan memuliakan wanita. Hujah-hujah seperti ini seringkali dimomokkan kepada masyarakat umum sedangkan mereka sebenarnya telah terpengaruh dengan ideologi Barat yang memperlihatkan syariat Islam itu sebagai anti-keadilan. 

Golongan Islam liberal seringkali mendakwa bahawa umat Islam pada hari ini terbelenggu dengan Islam yang didominasi dan diwarisi oleh bangsa Arab sehingga dihinggapi sindrom Syariah-minded Muslims. Tafsiran jumhur ulama juga dikatakan sempit dan jumud. Kesan dari fahaman tersebut mengakibatkan perundangan Islam dilihat sebagai tidak bertoleransi, keras, sentiasa bersifat menghukum dan tidak sesuai diaplikasikan pada zaman moden ini. 

Namun sayangnya tanpa mereka sedari sebenarnya pandangan dan pemikiran sebegini natijahnya menjauhkan lagi mereka dari agama Islam yang sebenar dan akhirnya terjunam dalam lembah kesesatan. Awasilah supaya tidak terpengaruh dengan fahaman Islam liberal ini yang menggunakan nama Islam sebagai paksi untuk menghalalkan matlamat dan tindakan mereka.

Sumber: Jurnal Sains Humanika, Vol. 5(3) – 2015 dan Jabatan Agama Islam Selangor


Comments