HENTIKAN 'TAHRISY' (PROVOKASI)!! UMAT ISLAM ITU SEHARUSNYA BERSATU DAN BUKANNYA BERPECAH BELAH


Akhir -akhir ini, media massa banyak sekali digemparkan dengan berita tentang penahanan beberapa orang individu di negara ini yang dipercayai mengeluarkan 'posting' berbaur provokasi dengan tujuan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat di negara ini. 

Salah satu daripada kes tersebut berkenaan dengan seorang warga emas berusia 61 tahun yang memuatnaik tiga 'posting' di Facebook berunsurkan hasutan kepada institusi diraja dan juga Kerajaan. Akibatnya, beliau kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. 

Apa yang lebih menyedihkan, ianya datang daripada tangan seorang umat Islam sendiri. Nauzubillahiminzalik! Bukankah 'tahrisy' ini sangat dibenci oleh Allah SWT? Firman Allah SWT: 

“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,yang banyak mencela, yang kian ke mari menebar namimah.” (QS al - Qalam: 10 - 11). 

Lihat apa yang terjadi di kala ini, akibat daripada perbuatan provokasi, sesuatu kesatuan hancur, rakyat hilang hormat kepada para pemimpin negara akibat berita yang tidak sahih. Bukan ini yang sepatutnya berlaku di negara kita. 

Berhati - hatilah, kerana Rasulullah SAW telah memberi amaran dalam sabda baginda: 

"Tidak masuk syurga pelaku namimah” (HR. Muslim) 

Ingatlah, perbuatan ‘tahrisy’ ini tidak boleh diremehkan sama sekali kerana ianya merupakan dosa besar. Allah tidak akan menerima taubat kita selagi dosa kita tidak dimaafkan oleh pihak yang kita ‘tahrisy’kan. Ia boleh diampunkan sekiranya kita sempat meminta maaf. 

Hentikanlah 'tahrisy'! Sebaliknya kuatkan lah kesatuan di antara kita sesama umat Islam. Firman Allah SWT: 

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.." (QS Ali 'Imran: 103). 

Sumber: Unit Penyelidikan Al - Haq Centre Malaysia


 

Comments