BERHATI-HATI DI MEDIA SOSIAL: LINDUNGI DIRI DARI HASAD DAN SIHIR


Zaman ini, media sosial bukan lagi sekadar tempat berkongsi berita, tetapi ia sudah menjadi cermin kehidupan, tempat manusia menonjolkan diri, mencari perhatian, dan kadang-kadang berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa lebih bahagia, siapa lebih kaya, siapa lebih sempurna. 

Namun tanpa sedar, berlebihan di media sosial boleh membuka pintu hasad dan mudarat, bahkan menjadi sebab seseorang “terkena sihir” atau gangguan rohani akibat pandangan mata dan hati manusia lain yang sarat dengan dengki. Media sosial pada asalnya satu nikmat teknologi, iaitu tempat menyebar ilmu, silaturrahim, dan dakwah. Tapi bila disalah guna, ia bertukar menjadi fitnah zaman moden. Mengapa? Ini antara sebabnya:

Gambar makanan dan kemewahan dipamer tanpa batas.
Keindahan tubuh, wajah, dan harta ditonjol tanpa malu.
Kebahagiaan rumah tangga ditayang setiap hari, tanpa menyedari ada yang memandang dengan hati yang luka.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Mintalah pertolongan untuk mencapai hajatmu dengan cara menyembunyikannya, kerana setiap orang yang diberi nikmat akan ada yang dengki terhadapnya.” (HR At – Thabrani).

Itulah sebabnya para ulama menasihati jagalah rahsia kehidupanmu, kerana tidak semua yang melihat menyukai, dan tidak semua yang mendoakan menginginkan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda:

“Pandangan mata (‘ain) itu benar-benar ada, dan jika ada sesuatu yang mendahului takdir, nescaya pandangan mata itulah.” (HR Muslim).

‘Ain ialah kesan buruk yang terjadi pada seseorang akibat pandangan mata yang disertai hasad atau kekaguman berlebihan. Ia boleh datang daripada orang yang jahat, bahkan kadang daripada orang yang baik tapi lalai, memandang dengan rasa kagum tanpa berzikir atau mendoakan keberkatan. Cuba kita lihat, berapa ramai yang jatuh sakit, rumah tangga bergolak, rezeki sempit, anak sering menangis, dan setelah diselidiki, rupanya punca bermula dari gambar dan cerita yang disiarkan sendiri di media sosial.

Islam mengajar kita berhati-hati, bukan takut. Media sosial tidak haram, tetapi cara kita menggunakannya menentukan sama ada ia menjadi pahala atau bala.

1. Jangan berlebihan berkongsi nikmat. Nikmat itu lebih berkat bila disyukuri secara diam daripada ditunjuk untuk mendapat pujian. Allah SWT berfirman:
“Dan ingatlah nikmat Tuhanmu, dan sebutlah ia (dalam syukur), bukan untuk bermegah-megah.” (QS Ad – Duha: 11).
2. Bacalah doa dan zikir pelindung diri. Amalkan ayat Kursi, surah al-Falaq, dan An-Nas setiap pagi dan petang. Ini perisai hati dari pandangan hasad dan gangguan jin.
3. Jaga niat ketika berkongsi. Jika tujuannya untuk memberi manfaat, Allah diberkati. Tapi jika untuk menunjuk-nunjuk, ia menjadi pintu riyak dan dosa.
4. Jangan mudah iri hati. Jika melihat nikmat orang lain, ucapkan “MashaAllah, tabarakAllah” dan doakan keberkatan. Hasad adalah racun hati yang membakar amal kebaikan.

Media sosial bukan tempat kita berlumba menunjuk siapa paling bahagia. Ia sepatutnya jadi ladang pahala iaitu tempat menyebar kebaikan, mengingatkan manusia, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ingatlah, semakin banyak kita dedahkan kehidupan peribadi, semakin besar ruang syaitan untuk menimbulkan hasad dan sihir. Jadilah hamba yang bersyukur dan berwaspada. Bukanlah bermaksud hendak bersikap paranoid, tetapi berilmu dan beradab dalam berkongsi. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh bisikan syaitan, mereka segera mengingat Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kebenaran).” (QS Al – A’raf: 201).

Sumber: Portal waktusolat.digital (5 November 2025)


 

Comments