1 SYAWAL JATUH PADA JUMAAT? HENTIKAN SPEKULASI



Isu penetapan 1 Syawal kembali menjadi perhatian apabila tular di media sosial dakwaan bahawa Aidilfitri tahun ini mungkin jatuh pada 20 Mac 2026 (Jumaat), lebih awal daripada jangkaan 21 Mac (Sabtu). Spekulasi ini mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat yang masih mengingati situasi pada tahun 2022 apabila umat Islam menyambut Aidilfitri sehari lebih awal daripada jangkaan. 

Namun, Jabatan Mufti Negeri Perak tampil menasihatkan orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi dan tidak membuat kesimpulan mendahului pengumuman rasmi.

Dalam Islam, penentuan awal bulan hijrah termasuk Syawal adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab yang digabungkan secara bersepadu. Proses rasmi hanya dilakukan selepas cerapan hilal pada petang 29 Ramadan, sebelum keputusan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. 

Perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan sebenar bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam disiplin ilmu falak. Kedudukan hilal setiap tahun berbeza dan faktor seperti altitud, elongasi serta keadaan cuaca seperti awan tebal atau jerebu boleh mempengaruhi kebolehlihatan anak bulan. 

Malah, menurut penjelasan pihak berautoriti, kedudukan hilal Syawal tahun ini secara teknikal lebih rendah dan lebih sukar dicerap berbanding tahun 2022.

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk berpegang kepada prinsip tabayyun dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin. Aidilfitri adalah hari kemenangan yang diraikan dengan penuh kesyukuran, bukan kegelisahan. 

Justeru, masyarakat diseru agar bertenang, teruskan ibadah Ramadan dengan penuh khusyuk dan membuat persiapan secara terancang tanpa panik. Keputusan rasmi tetap bergantung kepada hasil cerapan sebenar dan pengisytiharan pihak berautoriti, dan di situlah terletaknya disiplin serta keindahan sistem penentuan bulan dalam syariat Islam.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak

 





Comments