DAKWAH KEINDAHAN ISLAM YANG TERHASIL DARI JALANAN

 


Tindakan seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan membantu seorang pemuda Cina dalam kesusahan baru-baru ini bukan sahaja menyentuh hati masyarakat, malah menjadi contoh nyata keindahan ajaran Islam. Perbuatannya itu mencerminkan nilai kemanusiaan sejagat yang melangkaui batas bangsa dan agama, sekali gus membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mengangkat prinsip rahmah dan ihsan dalam setiap aspek kehidupan.

Perkara ini turut diakui oleh Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Hasan yang menegaskan bahawa bantuan tanpa mengira latar belakang memperlihatkan keindahan Islam melalui akhlak mulia. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat…” (QS An – Nahl: 90).

Kisah yang melibatkan pemuda bernama Dicky Yau ini juga membuktikan bahawa dakwah bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui perbuatan yang ikhlas. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.” (HR Ahmad).

Kedua – dua ayat dan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa kebaikan dan ihsan adalah tuntutan yang melangkaui sempadan perbezaan. Ini kerana nilai seorang Muslim di sisi Allah SWT bukan hanya pada ibadah khusus, tetapi juga pada sejauh mana dia memberi manfaat kepada orang lain.

Hakikatnya, kesusahan tidak mengenal bangsa atau agama. Islam mengajar umatnya untuk saling membantu dalam kebaikan, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan…” (QS Al – Maidah: 2).

Apabila ada individu yang menghulurkan bantuan tanpa berkira, di situlah terpancar keindahan nilai kemanusiaan yang selari dengan ajaran Islam dan mampu menyatukan masyarakat. 

Kisah antara Abang Minyak Hitam Jalanan dan Dicky Yau yang tular di media sosial, dengan jutaan tontonan dan perkongsian, menjadi bukti bahawa kebaikan yang ikhlas sangat dihargai. Ia juga menjadi seruan kepada kita semua untuk terus berbuat baik, kerana setiap amalan akan dinilai oleh Allah SWT. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa menebar kebaikan dan memperoleh keberkatan di dunia serta akhirat.

Sumber: Berita Sinar Harian (19 April 2026)


Comments