Konflik Iran-AS kini memasuki fasa baharu apabila propaganda berasaskan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi senjata utama yang mampu mengubah persepsi dunia tanpa perlu melepaskan satu peluru atau bom.
Iran dilihat semakin mendahului dalam perang propaganda digital dengan penghasilan kandungan AI yang kreatif dan provokatif. Kandungan ini termasuk video, imej, meme dan naratif yang memaparkan kemenangan atau kekuatan ketenteraan secara besar-besaran. Selain itu, terdapat juga video yang berunsur sindiran terhadap Donald Trump bagi melemahkan kredibiliti pihak lawan di mata dunia.
Penganalisis menyifatkan AI sebagai “front baru peperangan” kerana ia mampu mengelirukan musuh, menguasai naratif global dan mempengaruhi sokongan antarabangsa. Secara realiti, perang moden kini tidak menentukan siapa paling kuat secara fizikal, tetapi siapa paling kuat menangkis persepsi yang dicipta pihak lawan.
Penggunaan taktik perang saraf AI juga dilihat lebih efektif kerana kos lebih rendah dari perang secara konvensional, penyebaran pantas (media sosial), sukar dikesan (deepfake, manipulasi visual) dan memberi impak besar terhadap minda dan emosi. Pada masa kini, satu video propaganda dilihat lebih “berbahaya” daripada satu peluru.
Hal ini menunjukkan bahawa perang hari ini telah berubah wajah. Dari medan tempur ke medan digital. Dari senjata fizikal ke senjata persepsi. Apa yang berlaku antara Iran dan Amerika memberi satu pengajaran jelas bahawa siapa menguasai AI dan propaganda, dia menguasai medan perang masa hadapan.
Persoalannya sekarang, adakah kita sekadar menjadi penonton atau sudah bersedia menghadapai perang saraf era baharu ini?
Sumber: Sinar Harian – 23 APR 2026

Comments
Post a Comment