Apa yang lebih merisaukan, perkara ini semakin dinormalisasikan seolah-olah tiada lagi batas halal dan haram dalam pergaulan. Inilah kesan halus fahaman liberalisme yang menyerap masuk dalam pemikiran umat Islam yang mengangkat kebebasan individu melebihi garis panduan agama.
Realitinya, trend “mix gender” satu rumah ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang menitikberatkan penjagaan maruah dan batas pergaulan. Dalam Islam, bukan sahaja zina itu dilarang, malah mendekati zina juga ditegah. Tinggal bersama tanpa ikatan sah membuka ruang kepada fitnah, maksiat dan keruntuhan akhlak. Namun hari ini, alasan seperti “Kami cuma housemate”, “Tak buat apa-apa pun”, “Ini hal peribadi”, digunakan untuk menghalalkan perkara yang jelas melanggar syariat.
Pengaruh liberalisme makin jelas apabila konsep kebebasan tanpa batas diterima, maka lahirlah mentaliti bahawa agama tidak perlu campur urusan kehidupan harian. Ini sangat bahaya kerana ia perlahan-lahan menghakis sensitiviti umat Islam terhadap dosa.
Justeru itu, umat Islam perlu sedar bahawa trend “mix gender” satu rumah ini bukan sekadar isu sosial biasa. Ini adalah tanda bahawa kita semakin terpengaruh dengan ideologi luar yang bercanggah dengan nilai Islam. Jika dibiarkan batas pergaulan akan terus runtuh, maksiat akan dinormalisasikan, generasi muda hilang panduan agama. Jaga batas, jaga maruah, jaga agama.
Sumber: Sinar Harian – 08 APR 2026
Comments
Post a Comment