Isu melibatkan seorang wanita yang didakwa menghina Islam sekali lagi membuka perbincangan serius dalam masyarakat tentang bahaya mentafsir al-Quran tanpa ilmu yang mencukupi. Dalam era media sosial hari ini, sesiapa sahaja boleh bercakap tentang agama, namun tidak semua mempunyai kelayakan untuk mentafsirkan wahyu Allah SWT.
Pemilik akaun Facebook Fira Mond acap kali membuat hantaran berbaur menghina agama Islam dengan hantaran terbaru menyatakan Allah SWT mempunyai dua tangan di sebelah kanan dan menyalahkan Islam yang dikatakan diskriminasi terhadap wanita. Tafsiran ayat al-Quran dan hadis yang menggunakan akal fikiran sehingga membuat hantaran di media sosial dianggap sengaja mendatangkan kekeliruan terhadap umat Islam, mengajak umat Islam ke lembah kemurtadan dan menunjukkan sifat melampau terhadap penghinaan agama Islam.
Al-Quran bukan sekadar teks biasa yang boleh dihuraikan mengikut logik akal atau pandangan peribadi. Ilmu tafsir mempunyai disiplin yang sangat ketat melibatkan penguasaan bahasa Arab, memahami asbab al-nuzul (sebab turunnya ayat), merujuk kepada hadis Nabi SAW serta pandangan ulama muktabar sepanjang sejarah Islam. Tanpa asas ilmu ini, tafsiran yang dibuat berisiko menyimpang daripada maksud sebenar ayat.
Apabila seseorang mentafsir ayat al-Quran secara sewenang-wenangnya sehingga memutarbelitkan maksud atau memperlekehkan hukum yang telah jelas dalam Islam, tindakan tersebut bukan sekadar kesilapan biasa. Dalam keadaan tertentu, ia boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap agama, malah boleh membawa kepada kemurtadan jika dilakukan dengan sengaja dan menolak kebenaran yang jelas.
Perkara ini bukan isu kecil kerana penghinaan terhadap agama boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Oleh itu, diharapkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera terhadap perbuatan yang menghina agama atau menyebarkan kandungan sensitif yang sudah berleluasa sekian lama.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menerima pandangan agama di media sosial. Jangan mudah terpengaruh dengan individu yang bercakap tentang al-Quran tetapi tidak mempunyai latar belakang ilmu yang sahih. Jika ingin memahami al-Quran, rujuklah kepada ulama dan kitab tafsir yang muktabar.
Ingat! Al-Quran adalah wahyu Allah SWT, bukan bahan untuk ditafsir sesuka hati mengikut logik manusia.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – MAC 2026
dan Facebook: https://tinyurl.com/4w86tdyj

Comments
Post a Comment