‘TENTERA ELEKTRONIK’ DAESH/ISIS DAN ANCAMAN KESELAMATAN NEGARA

Ancaman militan DAESH/ISIS mula menjadi topik utama di dada akhbar dan laman media sosial sejak penangkapan beberapa orang rakyat Malaysia terlibat dalam menganggotai dan merancang untuk melancarkan serangan bom nekad di kawasan yang menjadi tumpuan rakyat dalam dan luar negara. Sebahagian mereka yang ditangkap oleh pihak berkuasa mendedahkan sedang menunggu menerima arahan dari anggota ISIS di Syria. Rata-rata mereka yang telah ditangkap mendedahkan kepada pihak berkuasa bahawa kuasa yang ada pada media DAESH/ISIS menerusi propaganda, gambar, kempen dan lagu penuh dengan semangat jihad sehingga mampu menggerakan hati sesiapa sahaja untuk menyertai kumpulan militan DAESH/ISIS.

Selain itu, media DAESH/ISIS diperkuatkan lagi dengan kemunculan majalah Dabiq pada 5 Julai 2014 dengan beberapa bahasa antaranya Bahasa Arab, Inggeris, Jerman dan Perancis. Nama Dabiq diambil dari sebuah tempat yang terletak di utara Syria. Cara penulisan yang kemas serta susun atur grafik yang cantik telah menarik minat pembaca untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan jihad, kemunculan sistem khalifah, hukum Allah s.w.t dan hukum ciptaan manusia dan sebagainya. Sehingga kini, Dabiq telah menerbitkan 15 edisi memaparkan propaganda untuk orang Islam berhijrah ke Syria dan Iraq.

Sementara itu, media DAESH/ISIS turut digerakkan dengan pelbagai akaun twitter seperti amaq real news, BeyondTheLevant, worldonalert bagi melaporkan berita serta keadaan peperangan di Syria. Peranan dan kepantasan media DAESH/ISIS terbukti apabila serangan dilakukan 5 militan di restoren Holey Artisan Bakery di Dhaka Bangladesh pada 1 Julai 2016 telah meragut 28 nyawa dan turut disiarkan oleh amaq real news sebelum semua militan ditumpaskan. Kesemua serangan samada yang telah dilakukan atau berjaya dipatahkan jelas menunjukkan bahawa kuasa media dimiliki oleh ‘tentera elektronik’ DAESH/ISIS mampu memberi ancaman terbesar kepada keselamatan negara.  Kesan dan akibat yang bakal dibawa mereka boleh disifatkan sebagai ‘bom jangka’ yang akan meletup pada bila-bila masa dan tempat jika rakyat menyerahkan sepenuhnya tugas menjaga keselamatan negara kepada pihak berkuasa. Kita semua mampu menghalangnya!!!!

Tulisan ringkas,
Aisyah Al-Mastani, Al-Haq Centre, Malaysia
11 Januari 2017

Comments