USRAH MAYA PEREKRUT DAESH/ISIS

USRAH MAYA PEREKRUT DAESH/ISIS

Gerakan-gerakan militan seperti Jamaah Islamiyah (JI) atau Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) banyak menggunakan pendekatan usrah atau pertemuan secara berkala, mingguan atau bulanan untuk menerapkan pemikiran dan penekanan terhadap pentingnya jihad dan menegakkan 'khalifah Islam'. Inilah antara kata kunci yang selalu berada di bibir para murabbi atau pemimpin usrah gerakan militan, tujuan akhir adalah tertegaknya Khalifah Islam.

Kini Daesh menggunakan strategi yang terkini dan 'updated' iaitu dengan mengeksploitasi teknologi maklumat. Peluang yang amat besar ini amat difahami oleh pemimpin Daesh/ISIS untuk merekrut anggota baru bagi memenuhi 'jawatan kosong' yang mesti diisi segera. Bermula dengan perkenalan melalui mesej-mesej di FB, kemudian ia menjadi perbualan rutin yang menggantikan usrah dimana bakal rekrut Daesh tidak perlu lagi berjumpa secara fizikal dengan ketua mereka.

Tidak hairanlah mengapa ada individu yang tidak sepatutnya terpengaruh dengan Daesh, tetapi berjaya direkrut. Inilah The Power of Social Media! Hatta ada anggota polis dan tentera pun boleh terpengaruh dengan dakyah Daesh. Hanya baca dan like page FB pro-Daesh, individu ini akan mula direkrut. Ironinya, kebanyakan kes wanita muda yang terpengaruh dengan Daesh, hanya bermula dengan ayat-ayat berbunga dan ajakan untuk bertunang dan bernikah. Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak pernah ditemui dan kadangkala berprofilkan gambar-gambar lelaki maskulin berlilitkan bendera hitam, dengan mudah mempengaruhi wanita-wanita muda ini? Bukankah ramai lagi lelaki soleh diluar sana...

Usrah Maya anjuran Daesh ini tidak akan berhenti selagi adanya media sosial dan jaringan internet. Kitalah yang sepatutnya bijak memilih kawan dan maklumat. Segalanya atas keputusan diri sendiri. Sedar atau tidak sedar, mungkin kawan serumah atau rakan sepejabat anda sebenarnya telah direkrut oleh Daesh. Hati-hati!

Catatan ringkas;
Abu Muhammad El-Melizi, Al-Haq Centre, Malaysia
12 Rabiul Akhir 1438 / 10 Januari 2017

Comments