Zahid tak terima tinjauan 11% rakyat Malaysia sokong IS

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hasil tinjauan Pew Research Centre berhubung tahap sokongan rakyat terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS) sebagai tidak menunjukkan keadaan sebenar.

Timbalan Perdana Menteri merujuk hasil tinjauan badan itu tahun lalu, yang mendapati 11% rakyat negara ini menyokong IS.

“Saya tidak ingin pertikai kajian tersebut, tetapi saya fikir tinjauan dibuat secara rambang, bukannya empirikal.

“Dan untuk mengatakan 3.3 juta (10% daripada jumlah keseluruhan penduduk 30 juta) adalah simpatisan kepada keganasan yang dilakukan IS, ini tidak boleh diterima bulat-bulat,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya lagi, keutamaan ketika ini ialah komitmen berterusan mengekang kegiatan keganasan dalam negara dan memainkan peranan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, komitmen itu ditunjukkan menerusi kejayaan polis memulihkan 95% bekas pengikut kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) sejak tahun 2001 hingga 2011.

“Program pemulihan kita mempunyai kadar kejayaan 95 peratus dan kita sentiasa membuat perubahan pada setiap masa untuk menghadapi cabaran sekarang,” katanya lagi.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/01/26/zahid-tak-terima-tinjauan-11-rakyat-malaysia-sokong-is/


Comments