Enta Memang Salah!

ENTA MEMANG SALAH!

Dalam perbincangan kita sehari-hari, tidak dinafikan kita akan bertemu dengan kepelbagaian pendapat dan pandangan, dan dari kepelbagaian inilah kita mencari solusi yang terbaik dalam menyelesaikan masalah.

Bagaimana pula apabila kita membincangkan persoalan agama atau akidah? Kita tidak perlu pergi jauh untuk nampak jelas dalam hal ini. Ustaz-ustaz yang berceramah kuliah Maghrib di surau/masjid juga kita lihat punya banyak pendapat dalam satu-satu isu. Belum kita buka Youtube lagi. Ustaz yang A cakap halal, ustaz B cakap haram. Mana satu betul? Ana atau enta yang salah?

Tidak semua kita belajar tinggi sampai ke Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Tetapi apabila kita melihat ustaz kita tidak sependapat dalam satu perkara, apa sikap kita?

Diam, pilih A atau B, atau boleh berada di tengah?

Ya, bukan mudah untuk membuat pilihan. Apatah lagi melibatkan soal agama. Hatta imam mazhab yang alim dan paling berdisiplin dalam ilmu hadis juga boleh berbeza pandangan. Tetapi akhlak mereka sangat mulia sesama mereka. Mereka tidak menyesatkan malah meraikan pandangan selagi pandangan itu berlandaskan Al-Qur'an dan Hadis.

Apa yang menjadi masalah, ramai alim di Youtube dan Facebook ini sudah merasa diri seperti Imam Mazhab, sudah merasakan diri boleh meletakkan hukum ke atas orang lain.

Bermula dengan enta salah, enta memang tidak benar, dan paling malang, menjatuhkan hukum kafir dan murtad sesama Muslim. Ia telah dan sedang terjadi. Akibatnya, ramai anak-anak muda kaki internet terpengaruh dengan Daesh/ISIS dan kini sudah bertarung hidup mati di Syria. Entahlah, hanya Allah yang tahu akibat akhir dari pertarungan ala-ala Afghan di Syria. Yang pasti, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Ulama Ahlussunnah sepakat menolak teori jihad Daesh/ISIS di Syria.

Ada juga yang menyesal dan balik ke Malaysia. Dari mereka inilah, pihak siasatan mendapat maklumat bahawa semangat mereka mula berputik untuk ke Syria sejak mula mendengar ceramah-ceramah online di Youtube dan Facebook...kata mereka lagi,"Ustaz di Youtube cakap Malaysia bukan negara Islam, pemimpinnya zalim dan toghut, tidak berhukum dengan hukum Islam, rakyatnya menyokong kezaliman, semua tak betul....". Tetapi mereka pulang setelah menyesal dan sedar idea jihad lelongan Daesh/ISIS itu hanya indah di Youtube semata-mata. Moralnya, janganlah jadi seperti mereka yang menyesal dan balik ke Malaysia. Belajarlah cara mengadili orang lain. Menuduh orang lain salah dan hanya diri sendiri betul hanya menampakkan kejahilan diri sendiri.

Untungnya kita pada zaman sekarang, kita punya peluang untuk mendalami ilmu dengan pelbagai sumber, ustaz ustazah di pejabat agama, para ulama' di universiti dan pondok, tak kurang juga yang 'ustaz-ustaz google' yang hanya cukup tekan dan klik di hujung jari...

Apa yang merisaukan, ramai yang begitu malas untuk berjumpa 'face to face' dengan ustaz, tetapi ambil pendekatan mudah untuk memahami hukum agama, google dan youtube sahaja...bagaimana pula kalau yang mengajar dalam youtube itu adalah pro-pengganas, tukang penyemai kebencian dan ada juga agen Syiah? dalam penelitian Al-Haq Centre, terdapat banyak video-video ceramah yang tersebar melalui WhatApp mengandungi unsur keganasan dan membangkitkan kebencian sesama umat Islam. Berhati-hatilah.

Ya, zaman kita adalah zaman IT dan penuh dengan kecanggihan teknologi maklumat, jika kita mengikut panduan yang betul dalam mencari solusi hukum hakam agama, insya-Allah, kita akan bertemu jawapan yang tepat dan benar dan bukan asyik bermodal enta memang salah!...

_Kerjasama Ke Arah Kesederhanaan_
_Al-Haq Centre_
Dari: Abu Muhammad El-Malizi

Comments