Pendekatan Counter Narrative hadapi militan

Pendekatan Counter Narrative hadapi militan

LANGKAWI 22 Mac - Pendekatan secara ‘Counter Narrative’ bagi menghadapi ideologi kumpulan militan seperti Daesh merupakan salah satu daripada tiga aspek penting yang diberi penekanan dalam pertemuan lima Menteri Pertahanan melibatkan Malaysia, Turki, Qatar, Pakistan dan Indonesia semalam yang diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA’17).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu diambil sebagai pendekatan untuk mematahkan propaganda kumpulan-kumpulan militan berke­naan yang menjadikan agama sebagai ‘topeng’ dalam perjuangan mereka.

“Ini satu perkara penting apabila negara-negara Islam terlibat bangkit menunjukkan bahawa Daesh bukan sebahagian daripada Islam dan mereka tidak langsung menggambarkan Islam sebagai agama dan umat yang bersederhana atau wassatiyyah.

“Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) boleh memainkan peranan dalam inisiatif yang diambil lima negara ini de­ngan kerjasama Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang baru ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Meja Bulat Panglima Tentera Laut melibatkan 12 Panglima Tentera Laut serta 25 wakil panglima negara-negara yang terlibat dengan LIMA’17 di sini hari ini.

Antara yang menjadi panel dalam forum tersebut adalah Panglima Tentera Laut, Tan Sri Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Laut Diraja Australia, Tim Barret; Pang­lima Armada ke-7 Tentera Laut Amerika Syarikat, Joseph P. Aucoin serta Panglima Tentera Laut Diraja India, Karambir Singh.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, dua lagi perkara yang dibangkitkan adalah kerjasama operasi antara aset-aset ketenteraan serta transformasi terhadap pendekatan-pendekatan yang diambil dalam memastikan keamanan sejagat.

Katanya, kesemua perkara itu akan dibincangkan secara lebih serius dan menyeluruh dalam pertemuan lanjut yang akan diadakan tidak lama lagi di Istanbul, Turki.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kerjasama operasi aset sudah tentu dapat membantu penjimatan serta mengelakkan pertindihan. Kerjasama seperti ini bukan sesuatu yang dilakukan secara tradisi dan perlu dibincangkan secara bersama menerusi jalinan hubungan yang lebih erat.

“Untuk transformasi pula, setiap daripada negara terlibat akan saling belajar antara satu sama lain kerana masing-masing berdepan cabaran hampir serupa dan ketika ini Qatar sudah menya­takan hasrat untuk belajar daripada Malaysia tentang pengalaman kita menguruskan isu-isu berkaitan keganasan,” katanya.

Artikel Penuh: DiSini
© Utusan Melayu (M) Bhd












Comments