HAMPIR 1,000 DITAHAN SOSMA SEJAK 2012 - AHMAD ZAHID

HAMPIR 1,000 DITAHAN SOSMA SEJAK 2012 - AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Seramai 979 orang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (SOSMA) sejak hampir lima tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tahanan itu dibuat sejak 31 Julai 2012 hingga 22 Feb lepas.

"Akta ini digubal untuk mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas berhubung kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

"Ini jelas menunjukkan SOSMA merupakan undang-undang berbentuk prosedur manakala jenis kesalahan yang berkaitan telah dinyatakan di dalam Jadual Pertama SOSMA," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang ingin tahu jumlah tahanan dibuat mengikut akta tersebut dan jenis kesalahan yang telah dilakukan.

Dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Ahmad Zahid berkata 43 orang warga asing telah dikenakan tindakan di bawah SOSMA kerana disyaki terbabit dengan elemen kumpulan pengganas Daesh di Malaysia.

Katanya, lapan orang telah didakwa, iaitu tiga di bawah Kanun Keseksaan, seorang di bawah Akta Pendaftaran Negara dan empat di bawah Akta Imigresen.

Katanya, 27 orang telah diusir, lima lagi masih dalam siasatan manakala baki tiga orang telah dibebaskan.

Ahmad Zahid berkata sehingga kini, tiada program deradikalisasi dijalankan terhadap warga asing yang berada dalam tahanan.

"Kebiasaannya program pengusiran dibuat sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan," tambahnya.

-- BERNAMA

*Jom sertai CHANNEL TELEGRAM AL-HAQ, BANYAK INFO TENTANG ISU KEGANASAN GLOBAL AKAN DIKONGSIKAN!*  
KLIK >>>  https://t.me/alhaqcentre





Comments