Kerajaan Cadang Luaskan Kerjasama Tiga Negara Di Perairan Laut Sulu

Kerajaan Cadang Luaskan Kerjasama Tiga Negara Di Perairan Laut Sulu

LAHAD DATU, 28 April (Bernama) -- Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan bercadang memperluaskan kerjasama antara agensi-agensi keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan agensi keselamatan di Filipina dan Indonesia bagi memperkukuhkan keselamatan di perairan Laut Sulu.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata, cadangan itu diambil kira selepas melihat kejayaan kerjasama ketenteraan antara tiga negara berjiran - Malaysia, Filipina dan Indonesia melalui inisiatif tertentu.

"Kerjasama itu juga untuk memastikan tiada pertindihan atau pembaziran aset, tempoh maklum balas yang pantas serta perkongsian maklumat dan risikan dapat dipertingkatkan.

"Tiada sebab kita tidak boleh meluaskan jalinan kerjasama ini kepada agensi-agensi lain dalam Esscom," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini Esscom, di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu juga sangat penting untuk mengekang ancaman militan Daesh yang mencari lokasi baharu untuk menyebarkan pengaruh atau membina wilayah baharu.

"Militan Daesh adalah satu ancaman besar dan kita tidak mahu mereka bertapak di sini. Oleh itu kerjasama ketiga-tiga negara berjiran perlu digembleng sebelum terlambat," katanya.

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1351461

Comments