Jepun Berminat Tingkat Kerjasama Dengan Malaysia Perangi Keganasan

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Jepun berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam langkah-langkah memerangi keganasan, kata Menteri Kehakimannya Yoko Kamikawa.

Beliau berkata satu daripada bidang utama yang perlu dikukuhkan ialah maklumat komprehensif dan perkongsian data mengenai pergerakan kumpulan pengganas antarabangsa sambil menambah Jepun menganggap kerjasama sedemikian penting dalam mengekang ancaman di dalam negara dan antarabangsa.

"Atas sebab itu, kami mahu dan kami sedang berusaha untuk meningkatkan lagi hubungan kerja ini, " kata Kamikawa kepada Bernama di sini hari ini. Beliau kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Beliau berkata dalam konteks dalam negeri, Jepun juga telah meningkatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk sebagai sebahagian daripada langkah mengetatkan keselamatan untuk menghalang mana-mana individu yang disyaki daripada memasuki negara itu.

sumber :http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1428043

Comments