Lelaki Pakistan Dikaitkan Dengan DAESH Dipercayai Pernah Ke Malaysia

BANGKOK, 17 Jan (Bernama) -- Lelaki Pakistan yang ditahan pihak berkuasa Thailand beberapa hari lepas atas dakwaan mengeluarkan pasport dan dokumen perjalanan lain palsu untuk militan DAESH dipercayai pernah ke Malaysia baru-baru ini untuk bertemu seorang lelaki yang ada kaitan dengan Al-Qaeda.

Seorang sumber keselamatan serantau mendakwa lelaki itu memasuki Malaysia menggunakan pasport palsu untuk bertemu seorang bernama 'Atiq', juga dikenali sebagai 'Ghulam Farid', suspek amat dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Atiq merupakan individu paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Sepanyol atas dakwaan terlibat dalam membekalkan dokumen perjalanan palsu kepada pihak-pihak penganas yang bertanggungjawab terhadap kes pengeboman di Madrid pada 2004 yang mengakibatkan 191 orang terbunuh.

Pendedahan tentang pertemuan antara lelaki Pakistan itu dan 'Atiq' di Malaysia perlu diteliti dengan terperinci, kata sumber itu yang enggan dikenali berikutan sensitiviti maklumat yang dikongsikan dengan Bernama di sini pada Rabu.

Kedua-dua suspek, menurutnya, dipercayai mempunyai rangkaian terancang di Malaysia dengan mereka didakwa membekalkan dokumen perjalanan palsu kepada pihak yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas DAESH dan kumpulan subversif lain di negara itu.....

sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1428409




Comments