LAGI GEGARAN BOM DIRASAI DI SELATAN THAI...

BANGKOK 21 Mei – Kesucian Ramadan di wilayah selatan Thailand dicemari dengan beberapa insiden keganasan apabila kira-kira 20 butir bom yang kebanyakannya menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meletup di beberapa wilayah di selatan Thailand, semalam dengan tiga orang awam dilaporkan cedera.

Kejadian letupan bom kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan di wilayah bergolak Pattani, Yala, Na­rathiwat dan Songkla itu dipercayai dilakukan kumpulan pemisah.

“Pihak berkuasa mendapat laporan empat butir bom meletup di daerah Muang, Pattani manakala masing-masing sebutir bom meletup di Saiburi, Nongchik dan Yarang. Semua menjadikan mesin ATM sebagai sasaran,” kata Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi.

Beliau berkata, dua wanita dan seorang lelaki dilaporkan cedera dalam kejadian letupan di daerah Muang.

Mangsa dikenali sebagai Sompit Sakonwichit, seorang ketua terapi fizikal di Hospital Pattani dan Somjit Srisombat, seorang pengamal perubatan tradisional dari hospital sama.

Seorang lelaki, Somkid Sakulwijit juga cedera apabila serpihan bom mengenai mata kirinya dalam kejadian letupan bom di hadapan Bank Kasikorn di daerah Muang.

Dua lagi letupan di daerah sama menyasarkan mesin ATM tetapi tiada mangsa yang ce­dera.

Dalam kejadian berasingan di Narathiwat, pihak berkuasa melaporkan lima butir bom meletup di daerah Benang Setar, Kabang dan Yaha, tetapi tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Penyerang tidak dikenali turut menembak sebutir peluru grenad M79 terhadap markas Pasukan Petugas Narathiwat di Thanto kira-kira pukul 8 malam tadi (waktu tempatan), tetapi tidak menyebabkan kecederaan.

Sumber keselamatan juga mengatakan serangan bom juga dilaporkan berlaku di daerah Ranget dan Cho Airong, manakala sebutir bom meletup di sebuah mesin ATM di daerah Thepa, wilayah Songkla malam tadi. – AGENSI/BERNAMA

http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/selatan-thai-digegar-20-serangan-bom-1.677032

Comments