MEMAHAMI KUASA PENANGKAPAN DAN PENAHANAN YANG DIPERUNTUKKAN SOSMA


PENGENALAN

Pada 22 Mei 2018, Menteri Dalam Negeri mengumumkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang sedia ada terutamanya berkaitan keselamatan negara yang didakwa bertentangan dengan hak asasi manusia. Jawatankuasa ini akan melihat dan meneliti semula undang-undang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan tujuan supaya rakyat tidak salah faham bahawa akta-akta bukan diwujudkan bermotifkan politik atau menghukum mana-mana pihak disebabkan perbezaan fahaman dan sebagainya. Antara undang-undang di bawah KDN yang dibangkitkan ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA. Akta ini memperuntukkan langkah-langkah khas berhubung dengan keselamatan. Digubal berdasarkan peruntukan 149 Perlembagaan Persekutuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) bagi membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu menggulingkan atau melemahkan Negara. Akta yang bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan dan hal-hal berkaitan ini telah diluluskan oleh Parlimen pada 17 April 2012 dan mendapat Perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 sebelum diwartakan pada 22 Jun 2012 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Kuasa penangkapan dan penahanan bagi kesalahan keselamatan ini seperti dinyatakan dalam seksyen 4 yang memberi kuasa eksklusif kepada pegawai polis untuk menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan. Pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan. Namun, pihak polis boleh melanjutkan tempoh tahanan bagi tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari.

Perkara ini menimbulkan perbahasan di kalangan pengamal undang-undang mengenai soal sama ada undang-undang ini menyediakan keseimbangan antara melindungi keselamatan negara atau hak asasi manusia yang perlu diberi keutamaan. Akta ini tidak melanggar hak asasi tahanan disisi undang-undang kerana SOSMA adalah undang-undang subsidiari di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan memenuhi elemen-elemen dalam Perkara tersebut yang menetapkan kuasa-kuasa khas untuk banteras kegiatan subversif, keganasan terancang, tindakan dan jenayah yang memudaratkan orang awam. Oleh yang demikian, tahanan tidak boleh mendakwa hak mereka telah dicabuli dan melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan seseorang kerana kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi khususnya apabila membabitkan isu sensitif seperti hal-hal keselamatan negara atau mencetuskan kebencian kaum.

Hal ini boleh dirujuk dan dibuktikan bersama dengan kes Yazid Sufaat yang menjadi antara tahanan pertama ditahan di bawah akta ini atas dakwaan mencetuskan dan menggalakkan  keganasan. Yazid telah dihukum penjara maksimum tujuh (7) tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan iaitu sengaja tidak memberi maklumat kegiatan keganasan. Rentetan pengakuan bersalah yang dibuat oleh Yazid, dua pertuduhan asal sebelum ini ditarik balik iaitu dakwaan menggalakkan keganasan bagi memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria dan pertuduhan menjadi ahli kumpulan Tazim al-Qaeda Malaysia. Difahamkan Yazid cuba menyemai fahaman Salafi Jihadi melalui usrah dengan memanipulasikan maksud jihad dalam al-Quran dan mencetuskan gerakan jihad bersenjata yang boleh menggugat keselamatan negara.

  Kesimpulannya, apabila berlakunya kekacauan dan masalah sosial yang tidak dapat diatasi serta boleh mengancam keselamatan dan keamanan awam, pemimpin atau badan perundangan negara boleh menggubal serta mengenakan undang-undang yang berat ke atas kesalahan tersebut berdasarkan prinsip al-Siyasah as- Syar’iyyah dengan mengutamakan maqasid syari’ah yang mengambil kira maslahah umum selagi mana ia tidak bercanggah dengan kehendak syara’. Ini menunjukkan SOSMA adalah masih relevan untuk digunapakai dan dilaksanakan. Masyarakat perlu dididik untuk memahami betapa seriusnya isu berkaitan keselamatan dan keamanan awam. Sekiranya ia tidak dikendalikan dengan betul, ia akan membawa kepada malapetaka yang sangat dahsyat berpunca daripada penyemaian isu-isu sensitif dan sentimen-sentimen luaran dalam kalangan masyarakat Malaysia.


Bintu Salam,
Al-Haq Centre.


Comments