MENGENALI APA ITU POTA


AKTA PENCEGAHAN KEGANASAN 2015 (POTA)

(AKTA 769)



PENGENALAN

Keganasan telah lama wujud dan bukanlah satu fenomena yang baru. Apa yang baru ialah kaedah-kaedah yang lebih kejam digunakan yang boleh menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat sama ada pada individu mahupun negara. Serangan 11 September 2001 adalah antara contoh kes yang melibatkan keganasan dan memberi kesan kepada seluruh dunia yang membawa kemusnahan bukan sahaja bagi negara tertentu dan penduduknya bahkan turut menjejaskan asas ekonomi dunia. Secara tidak sedar sebenarnya untuk bertahun-tahun kita telah hidup dalam ketakutan. Penularan elemen keganasan yang semakin merebak dan mengancam keselamatan negara mendorong kerajaan untuk menggubal dan menguatkuasakan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) secara rasminya pada 1 September 2015 bagi menangani aktiviti militan di negara ini. Penggubalan akta ini selaras dengan kertas putih bertajuk “Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)” yang dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada tahun 2014 sebagai memperakui ancaman keganasan berterusan di dalam dan luar negara.

POTA ini bertujuan untuk mencegah perlakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas dari sesebuah negara asing serta bagi kawalan terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan demikian. Dakyah dan ideologi yang semakin pesat berkembang terutamanya melalui media sosial mendatangkan kebimbangan dalam mempengaruhi minda masyarakat Malaysia sekiranya tidak ada pembendungan yang diterapkan. Akta ini merupakan salah satu cara untuk meminimakan pengaruh tersebut dengan memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan. Jika dilihat daripada sudut positif, implimentasi akta ini dapat memastikan rakyat dan keamanan negara tidak diganggu gugat oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militan.

Terdapat banyak pihak yang tidak menyokong akta ini dengan menggelarnya sebagai undang-undang yang zalim, melanggar hak asasi manusia selain menyamakan akta ini dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Namun, POTA sebenarnya memberi perhatian kepada hak asasi manusia di mana orang yang ditahan boleh menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing. Perkara ini membezakan antara POTA dengan ISA yang langsung tidak membenarkan ahli keluarga mahupun peguam melawat semasa tempoh awal iaitu 60 hari pertama bermula penahanannya. Selain itu, kuasa-kuasa eksekutif menteri di dalam ISA pula akan diambil alih oleh anggota Lembaga Pencegahan Keganasan yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong

Kesimpulannya, POTA tidak boleh dilihat dari sudut perundangan semata-mata, kerana ia bersifat pencegahan yang mengutamakan elemen pemulihan terhadap tahanan. Justeru, akta ini adalah bertepatan yang perlu dilaksanakan di negara ini dalam usaha menjamin keselamatan dalaman negara daripada sebarang bentuk ancaman khususnya melibatkan jenayah berat dan aktiviti pengganas yang boleh berlaku sekiranya dibiarkan tanpa sebarang kawalan undang-undang pencegahan yang tegas oleh pihak berkuasa. Masyarakat juga dituntut memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan dan berusaha mencapai kata sepakat kerana Islam sebenarnya adalah satu cara hidup yang membawa kesejahteraan dan kecemerlangan kepada ummah dan umat manusia keseluruhannya.

Bintu Salam,
Al-Haq Centre.

Comments