7 ANGGOTA MILITAN DITAHAN



KUALA LUMPUR 10 Dis. - Polis berjaya menghalang rancangan menyerang sebuah balai polis di Kelantan dan rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang pada Januari depan dengan penahanan seorang suspek dalam operasi khas yang dilancarkan antara 19 hingga 28 November lalu.
Lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penjual madu itu didapati menerima arahan melancarkan serangan tersebut daripada Wan Aquil Wan Zainal atau Akel Zainal iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria.
Suspek ditahan di Kelantan pada 19 November lalu dalam operasi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.
Seorang lagi suspek berusia 35 tahun yang disyaki menerima arahan daripada anggota kanan kumpulan pengganas Daesh warga Malaysia di Syria untuk melancarkan serangan ke atas orang bukan Islam dan rumah ibadat mereka di negara ini pula diberkas di Kota Bharu, Kelan tan pada 21 November lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan penahanan tersebut turut memaklumkan, lima lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas ditahan menerusi operasi di Se­langor, Sabah dan Kedah.
Menurutnya, pada 20 November, pihaknya menahan seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan gas berusia 52 tahun di Kajang, Selangor kerana didapati terlibat dalam menyalurkan dana berjumlah RM14,000 kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi bagi pembiayaan aktiviti keganasan.
“Seorang lelaki Filipina ber­usia 45 tahun yang juga anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) pula ditahan di Tawau, Sabah pada 21 November kerana terlibat dengan sekurang-kurang­nya tiga siri penculikan di selatan Filipina dan Sabah, selain turut tersenarai sebagai individu dikehendaki.
“Selain itu, seorang lelaki bekerja sebagai pemandu van kilang ditahan di Bedong, Kedah pada 22 November kerana menyalurkan dana kepada sel Jamaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah kumpulan pro-Daesh yang terbabit dalam siri sera­ngan ke atas balai polis di Jawa Tengah pada April 2017.
“Tangkapan terakhir pula melibatkan sepasang suami isteri masing-masing berusia 48 dan 40 tahun di Tenom, Sabah. Suspek lelaki warga Filipina bekerja sebagai buruh dan isterinya warga tempatan seorang suri rumah kerana menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran anggota ASG di Sabah,” ujarnya.
Tambah Mohamad Fuzi, ke­semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/7-anggota-militan-ditahan-1.802764#ixzz5ZLJV36ER
© Utusan Melayu (M) Bhd

Comments