15 MAUT SERANGAN MILITAN DI NAIROBI


NAIROBI, 16 Januari 2019: Sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerbu sebuah hotel dan kompleks pejabat di sini, semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 individu maut.
Kumpulan militan Somalia, Al Shabaab, didakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Pada masa sama, bunyi tembakan masih kedengaran di sekitar kawasan kompleks mewah di 14 Riverside Drive di sini, kira-kira lapan jam selepas serangan itu berlaku, sekali gus menunjukkan pihak berkuasa masih gagal mengawal keadaan.

“Sekumpulan orang ramai masih berlindung di dalam kompleks berkenaan,” kata sumber keselamatan.

Seorang pekerja rumah mayat memberitahu Reuters, seorang lelaki warga Britain dan Amerika Syarikat adalah antara 15 mangsa yang terkorban.

Katanya, maklumat itu diperolehi berdasarkan dokumen pengenalan yang dimiliki ketika mayat mangsa terbabit dibawa ke rumah mayat Chiromo di sini.

“Sebelas lagi mangsa adalah rakyat Kenya, manakala dua lagi yang terbunuh tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan,” katanya.

Sementara itu, beberapa mangsa yang cedera dilaporkan masih terperangkap di dalam bangunan terbabit, kira-kira sebelas jam selepas serangan berlaku.
Menurut anggota kecemasan, kebanyakan daripada mereka memerlukan bantuan perubatan. – Reuters

Sumber berita:
[Berita Harian] https://www.bharian.com.my/dunia/afrika/2019/01/520365/15-maut-serangan-militan-di-nairobi

[Reuters] https://www.reuters.com/article/us-thailand-saudi-canada/fearing-for-saudi-teens-safety-canada-refugee-agency-hires-guard-idUSKCN1P92A4
Sumber video: https://bit.ly/2FvFXa1

Comments