TASHIH AL-MAFAHIM #2: BERPERANG JIHAD KE LUAR NEGARA?


[ Kesinambungan TASHIH AL-MAFAHIM #1: JIHAD BUKAN PERANG SEMATA-MATA ]

TASHIH AL-MAFAHIM #2: BERPERANG JIHAD KE LUAR NEGARA?
Oleh: Sahibus Samahah Dato'  Seri  Dr. Hj. Zulkifli Al-Bakri


“Antara syarat jihad al-hujum adalah memiliki bekalan jihad. Ia termasuk perbelanjaan atau nafkah kepada tanggungannya sepanjang ketiadaannya. Imam al-Syafie mengatakan, walaupun seseorang itu sejahtera tubuhnya (daripada kecacatan) dan kuat, namun dia tidak memiliki bekalan untuk keluar berjihad, tidak juga meninggalkan perbelanjaan untuk orang di bawah tanggungannya sepanjang tempoh ketiadaannya, maka dia tidak boleh menawarkan diri untuk berjihad lalu meninggalkan kewajipan terhadap tanggungan di bawahnya (Mukhtasar al-Muzani: 8/376). Al-Nawawi pula menegaskan bekalan jihad hendaklah lebihan daripada nafkah yang wajib ditunaikan buat tanggungan di bawahnya (Raudhah al-Talibin: 10/210).

Bekalan jihad atau disebut juga sebagai mu’nah al-jihad ini berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Taubah ayat 91:

 “Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”



"Bersama Menentang Ekstremis."
Alhaq Centre

Comments