Perdana
Menteri Mahathir Mohamad berkata tahap profesionalisme dan keupayaan pasukan
Polis DiRaja Malaysia [PDRM] dalam menangani ancaman militan Negara Islam [IS]
di negara itu telah berjaya menangkap seramai 464 orang ahli kumpulan pengganas
di Malaysia.
.
.
Tanpa memberi tempoh tangkapan itu dibuat, Mahathir berkata
tugas polis kini semakin mencabar dan pasukan itu bukan sahaja berhadapan
dengan cabaran jenayah konvensional, tetapi juga ancaman pengganas yang
menuntut pasukan berkenaan untuk menanganinya secara tegas, strategik dan
berkesan.
.
“Kerajaan percaya, kejayaan tangkapan ini dapat dicapai
kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang
mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan,” katanya semasa
berucap sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis
Kuala Lumpur [PULAPOL] pada Isnin.
.
Baru-baru ini Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengetuai
bahagian anti pengganas di Cawangan Khas, iaitu sayap perisikan PDRM
memberitahu BeritaBenar, dari 2013 hingga Februari 2019, Malaysia telah
menggagalkan 24 rancangan pengganas dan menahan 457 suspek militan termasuk 131
orang dari 21 negara.
.
Daripada mereka yang ditangkap, seramai 200 orang telah
didakwa di mahkamah dengan 175 daripada mereka telah disabitkan kesalahan dan
dipenjara. Seramai 123 orang lagi telah dibebaskan.
.
Sementara itu, Perdana Menteri berusia 93 tahun itu juga
memaklumkan yang indeks jenayah bagi 2018 telah merekodkan satu penurunan
sebanyak 11.9 peratus dengan 88,662 kes berbanding nilai ambang atau threshold
sasaran sebanyak 100,611 kes.
.
“Statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi
harapan masyarakat yang sekarang ini amat peka terhadap aspek keselamatan dan
kesejahteraan mereka,” tambahnya lagi.
.
Perdana Menteri itu juga berjanji akan terus memberi komitmen
dalam menyalur pelbagai peruntukan yang diperlukan oleh PDRM walaupun ia
melibatkan kos tambahan.
.
“Ini adalah bagi memastikan pasukan benteng keselamatan
negara mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini,” tambah beliau.
.
Beliau juga meminta rakyat Malaysia untuk bersama-sama
membantu pihak berkuasa dalam melindungi negara dari anasir luar dan ancaman
militan yang menganggu gugat keselamatan negara.
.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang mengulas
kenyataan Perdana Menteri berkata PDRM perlu terus berkembang dari segi
teknologi agar tidak ketinggalan dalam bidang siasatan.
.
“Semasa saya menyertai polis, ketika itu kita tidak
berhadapan masalah media sosial dan jenayah-jenayah berasaskan IT dan sebagai
contoh, pengkaderan IS, dahulu ia dilakukan secara fizikal melalui ceramah
tetapi sekarang golongan muda dan remaja, seramai 95 peratus dipengaruhi oleh
media sosial. Jadi ini adalah cabaran-cabaran yang perlu kita tangani,” jelas
Fuzi.
.
Berita
penuh: Benar News – 25 Mac 2019
IKUTI KAMI 👇
Comments
Post a Comment