SENTIMEN BENCI MELAMPAU BOLEH CETUS KEGANASAN



SEMINGGU berlalu, insiden tembakan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 orang Islam dan mencederakan puluhan yang lain masih menjadi bualan hangat di seluruh dunia.

Tindakan pengganas yang membunuh orang yang tidak berdosa ini dikecam hebat oleh masyarakat dunia kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi yang meletakkan hak untuk hidup sebagai asas utama hak asasi manusia.

Jika dilihat manifesto pengganas yang menyerang dua masjid itu, jelas, dia melakukannya sebagai tindak balas kepada siri keganasan, sama ada yang dilakukan oleh atau membabitkan umat Islam di beberapa lokasi lain di dunia.

Di atas premis kebencian itu yang turut disumbangkan oleh sentimen Islamophobia dan salah faham terhadap Islam, termasuk anggapan Islam menganjurkan keganasan, maka beliau mengambil tindakan balas dendam kepada umat Islam yang tidak berdosa.

Daripada insiden di New Zealand ini, serta siri keganasan di negara lain sebelum ini, dapat difahami bahawa keganasan dan aktiviti ektremisme adalah hasil sentimen kebencian yang tidak dibendung dan dikawal.
Kadangkala kebencian ini terbentuk kerana persepsi negatif dan salah faham terhadap kelompok, bangsa dan agama tertentu. Sebagai contoh, sentimen Islamofobia dan xenofobia yang menebal khususnya di Barat, menyebabkan Islam dan penganutnya dilihat sebagai ancaman kerana budaya dan ajaran Islam dianggap tidak sesuai dengan cara hidup masyarakat di Barat.

Secara umumnya, gambaran diperoleh orang bukan Islam berkaitan Islam daripada pemimpin politik berhaluan kanan, sesetengah media yang gemar memberikan pemberitaan stereotaip membentuk pemikiran serta persepsi salah mengenai Islam seperti Islam menghalalkan keganasan, Islam mendiskriminasi wanita dan melebihkan lelaki dan sebagainya.

Berkaitan keganasan contohnya, wujud prejudis seolah-olah Islam menghalalkan keganasan dan pembunuhan orang tidak berdosa kerana kononnya ada ayat al-Quran yang menyuruh membunuh orang bukan Islam.

Ayat 191, surah al-Baqarah contohnya, diambil secara literal dan di luar konteks bagi menjustifikasikan tuduhan itu. Menambahkan lagi kekeliruan dalam kalangan bukan Islam ialah apabila ada umat Islam yang melakukan keganasan dan pembunuhan orang tidak berdosa atas nama agama dan jihad seperti dilakukan oleh IS.
Sumber: Berita Harian - 23 Mac 2019
Artikel Penuh ðŸ‘‰ https://bit.ly/2FqJl3h

FOLLOW US ðŸ‘‡

Comments