HAGUE: Lelaki yang
disyaki melepaskan tembakan di sebuah tram yang menyebabkan 3 maut manakala 5
yang lain cedera dalam kejadian di bandar Utrecht, Belanda berjaya ditahan
polis Isnin pagi, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai polis.
Sebelum tangkapan
dibuat, siasatan polis mendapati suspek yang melakukan serangan itu lelaki
kelahiran Turki, dikenali Gokmen Tanis, 37.
Suspek ditangkap di
sebuah rumah di Jalan Oudenoord, Utrecht. Berikutan tangkapan itu, Penyelaras
Keselamatan Negara dan Memerangi Keganasan (NCTV) mengurangkan tahap ancaman di
wilayah Utrecht daripada paling maksimum iaitu 5 kepada 4.
“Masih banyak
persoalan dan khabar angin,” kata Perdana Menteri Mark Rutte.
“Motif serangan masih
tidak jelas, masih belum dapat ditentukan sama ada ia serangan keganasan atau
sebaliknya.
Melihat kepada jumlah
korban dan mangsa yang cedera parah kes itu tidak boleh dipandang ringan.”
Tambah Rutte, bendera
di semua bangunan kerajaan dipasang separuh tiang pada Selasa.
Kejadian tembakan itu
berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi waktu tempatan. Dataran di bahagian barat
Utrecht dan kawasan sekitarnya dikepung polis.
Dari awal lagi, pihak
polis tidak menolak kemungkinan ia serangan pengganas.
Sejak insiden serangan
pengganas di 2 masjid di Christchurch, New Zealand, beberapa masjid di Utrecht
ditutup begitu juga universiti dan sekolah.
Sumber: Bernama: 19 March 2019
Comments
Post a Comment