KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memantau
dan melakukan pemprofilan pelarian (profiling) Rohingya yang masuk ke negara
ini bagi mengekang sebarang unsur politik ekstrem di tempat asal mereka di
Myanmar dibawa ke negara ini.
Pengarah Institut Kajian Strategik
Malaysia (MyRISS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Mizan
Mohd Aslam berkata, kepentingan mewujudkan pangkalan data pelarian yang
ditindas di negara sendiri itu adalah langkah berjaga-jaga serta memudahkan
pihak berkuasa mengesan pelakuan anasir negatif.
Ini, katanya, termasuk jika pelarian itu
terbabit dengan perbuatan jenayah seperti sindiket penyeludupan dan
pemerdagangan manusia yang aktif mengambil kesempatan di atas terdesaknya
pelarian Rohingya mencari tempat perlindungan di negara lain khususnya
Malaysia.
“Semua tahu kerajaan dan majoriti rakyat
negara ini simpati dengan apa berlaku terhadap masyarakat Rohingya yang diancam
genosid atau penghapusan etnik.
“Ditakuti pelarian ini juga akan bawa
unsur-unsur sosio politik negara mereka di Malaysia dan mengembangkan ideologi
ekstremis. Sebab itu kena buat profiling, tahu di mana tempat tinggal mereka,
pekerjaan, komunikasi serta sebagainya.
“Saya secara dasar melihat isu
eksploitasi pelarian Rohingya termasuk dijadikan barang dagangan sebagai isu
besar yang merosakkan nama Malaysia lebih-lebih lagi kini dikesan turut
membabitkan etnik mereka sendiri yang tinggal lama di negara ini,” katanya.
Beliau mengulas laporan eksklusif Harian
Metro mengenai kegiatan segelintir etnik Rohingya tinggal lama di negara ini
mengaut untung ‘menjual’ saudara sedarah yang kesulitan untuk masuk ke
Malaysia.
Muka depan Harian Metro 1 Mac lalu
bertajuk Jual Kaum Sedarah mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia
mengenakan caj RM5,000 hingga RM16,000 sekepala kepada etnik Rohingya yang
berada di kem pelarian Cox Bazar, Bangladesh untuk diseludup masuk ke negara
ini.
Mengulas lanjut, katanya, mungkin
kerajaan boleh wujudkan kawasan khas kepada pelarian Rohingya itu seperti Pulau
Jerejak dulu bagi kawalan maksimum.
Mohd Mizan yang juga Pengerusi Yayasan
Anti Rasuah Malaysia (YARM) berkata, baru-baru ini beliau bersama Agensi
Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan beberapa agensi lain ke Satun dalam
lawatan muhibah turut membincangkan isu jenayah rentas sempadan termasuk
penyeludupan migran.
“Hasil perbincangan itu antaranya ialah
penyeludupan dan pemerdagangan pelarian Rohingya berlaku kerana adanya
penawaran serta permintaan seterusnya dibantu pihak tertentu yang tidak
berintegriti.
“Justeru, kami merancang untuk adakan
kerjasama latihan membabitkan pihak keselamatan kedua-dua belah negara untuk
membina integriti dan memahami kesan besar berlaku akibat tiada integriti.
“Lebih banyak lagi latihan antara kedua
negara terutamanya mereka yang mengawal sempadan negara. Kerajaan negara
berjiran perlu serius menangani ejen, tekong laut dan darat yang sebenarnya
membayar pihak-pihak berkaitan,” katanya.
FOLLOW US 👇
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://instagram.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment