TINDAKAN USIR WARGA ASING DIPERCAYAI PENGGANAS UNTUK SEKAT RANGKAIAN - KPN




KUALA LUMPUR: Tindakan pengusiran terhadap enam warga Mesir dan seorang warga Tunisia, yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengganas, 5 Mac lalu, dibuat bagi memastikan rangkaian kumpulan berkenaan dilumpuhkan.
.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, memaklumkan perkara itu bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa polis tidak merujuk kepada menteri berhubung tindakan pengusiran itu.
.
Fuzi berkata, isu mengenai perkara berkenaan tidak dimaklumkan kepada menteri berkemungkinan terdapatnya masalah teknikal namun arahan berkenaan dikeluarkan oleh pejabat Peguam Negara kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
.
“Kita terima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya berkaitan pengusiran ini dan ianya perlu disegerakan bagi menyekat rangkaian mereka.
.
“Selain itu tindakan pengusiran juga dilakukan selepas pihak PDRM mengadakan perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang sebelum ini dijawat oleh Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd kepada timbalannya Datuk Huzir Mohamed.
.
Beliau berkata, tindakan kumpulan pengganas ini adalah satu ancaman serius namun pada masa akan datang, pihaknya akan merujuk dahulu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung sebarang perancangan operasi dan tindakan susulan yang bakal diambil.
.
“Apa yang penting, PDRM tidak pernah berkompromi mengenai isu keselamatan negara, kita sudah tangani isu ini sejak begitu lama dan kita tidak maju kumpulan ini menjadikan negara kita sebagai tapak bagi melancarkan serangan.
.
“Kita ada maklumat tentang perkara itu malah mereka (suspek) sendiri menggunakan pasport palsu untuk masuk ke dalam negara ini,” katanya.
.
Sebelum ini, enam warga Mesir, 1 warga Tunisia dan 2 warga tempatan ditahan polis antara 2 hingga 9 Februari lepas dalam beberapa serbuan di Lembah Klang dan Sarawak, selepas menerima maklumat daripada agensi perisikan asing mengenai kehadiran suspek yang menjadi anggota militan, Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di utara Afrika.
.
Semua suspek disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan diusir ke negara asal pada 5 Mac lalu.
.
Kredit: Berita Harian – 13 Mac 2019
.
.
FOLLOW US 👇
.

Comments