2 BEKAS TENTERA, WARGA INDONESIA BERSALAH BERKOMPLOT PROMOSI KEGANASAN


PUTRAJAYA: Dua bekas tentera dan seorang warga Indonesia didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan di sini kerana berkomplot mempromosikan keganasan.

Menurut bukti yang digunakan di Mahkamah Tinggi, warga Indonesia, Ali Saifuddin dan bekas anggota tentera, Nor Azmi Jailani dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, dikatakan terbabit dalam beberapa siri perbincangan dengan anak seorang militan Daesh mengenai rancangan menculik empat bekas menteri.

Antaranya termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tiga lagi menteri yang disasarkan ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Panel tiga hakim, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabidin Mohd Diah dan Datuk Has Zanah Mehat, membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada pendakwaan.

Dalam keputusannya, Vernon yang mempengerusikan panel itu, berkata bukti yang diberikan oleh ketiga-tiga lelaki tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Vernon menetapkan 15 April ini untuk mendengar mitigasi pihak pembelaan selepas peguam Syahredzan Johan memohon diberikan masa untuk menyediakan hujahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar, berkata beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada mahu membenarkan permohonan Syahredzan atau tidak.

Vernon juga melanjutkan perintah reman ke atas Ali,32 ; Nor Azmi, 32 dan Mohd Yusri, 31. Mereka direman apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah untuk membebaskan ketiga-tiga mereka, sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Pada Jun 2017, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh daripada dakwaan berkomplot mempromosi kegiatan berkaitan keganasan di Malaysia, antara 30 Januari hingga 6 April 2015, di sebuah rumah di Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun yang sama, iaitu boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Anak bekas militan Daesh, Abu Daud Murad Halimmuddin, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah berkomplot untuk mempromosikan keganasan di Malaysia. – BERNAMA

Credit: Berita Harian Online - 8 April 2019
https://bit.ly/2VA7oUu

FOLLOW US 👇

https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments