SINGAPURA: Dalam satu langkah yang jarang
berlaku, pihak berkuasa Singapura baru-baru ini bersetuju untuk membenarkan
pihak media mewawancara individu-individu yang pernah menjadi radikal. Ini
selepas tiga individu sedemikian turut bersetuju untuk diwawancara.
.
Sepanjang dua hari, para wartawan dari
agensi berita terpilih dibawa masuk ke dalam sebuah bilik pemeriksaan Pusat
Warisan ISD untuk mewawancara para individu itu.
.
Bagi melindungi identiti mereka, nama
samaran diberikan dan perincian seperti umur, sekolah atau pekerjaan tidak
boleh dilaporkan.
.
Pada masa yang sama, maklumat seperti bila
mereka ditangkap atau dibebaskan dan sama ada sebelum ini, mereka berada dalam
tahanan ataupun dikenakan perintah sekatan, tidak boleh didedahkan bagi
memastikan identiti mereka tidak dapat dijejaki memandangkan ketiga-tiga
individu tersebut sudahpun berjaya berintegrasi dan pulang ke pangkuan
masyarakat.
.
Beliau dikejutkan ibunya dan diberitahu
bahawa para pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berada di dalam
rumahnya. Mereka mahu menyiasat kerana beliau sudah menjadi radikal.
.
Dalam masa beberapa minit saja, Irfan
(bukan nama sebenar) dibawa keluar oleh para pegawai tersebut dengan disaksikan
anggota keluarga yang tidak mampu melakukan apa-apa.
.
Semasa siasatan, Irfan memberikan kerjasama
dengan menceritakan bagaimana dirinya menjadi radikal dan mendedahkan segalanya
kepada para pegawai.
.
Selepas itu, proses pemulihan bermula
sepantas penangkapannya. Sebahagiannya melibatkan kaunseling agama di mana beliau
bersemuka dengan seorang asatizah.
.
Irfan menyuarakan pandangannya mengenai
bagaimana masyarakat Islam ditindas dan bertanya sekiranya jihad adalah sesuatu
yang betul atau salah.
.
Menurut Irfan, dengan adanya seorang
asatizah yang mendampingi dirinya, berlaku pertukaran pandangan berbanding
belajar tentang Islam di internet di mana ia setakat belajar tanpa mendapatkan
panduan dan bimbingan daripada sumber yang bertauliah.
.
Seorang lagi individu yang pernah melalui
pengalaman serupa ialah Hakim yang pada mulanya hanya mahu menjadi seorang
Muslim yang lebih baik, namun terpesong akhirnya.
.
Satu lagi faktor yang dikongsi kedua-dua
individu berkenaan adalah isu menebus dosa.
.
Hakim mengakui bahawa beliau bukan seorang
yang warak memandangkan beliau pernah meminum arak, tetapi gaya hidup beliau
berubah selepas seorang anggota keluarganya jatuh sakit. Dalam proses
mendapatkan “bantuan Tuhan” dan berdoa agar cepat sembuh, beliau mula membaca
lebih banyak tentang Islam dan menyedari keindahan agama.
.
Beliau menyingkap kehidupan masa lalunya
dan berasa mahu bertaubat dan “menebus dosa-dosanya”.
.
Dengan menolak pandangan budaya majmuk di
mana beliau membesar di Singapura, Hakim menjadi yakin bahawa “perpaduan Islam
mengatasi jati diri rakyat tidak kira negara mana sekalipun”.
.
Terdapat percanggahan tanggapan tentang
siapa yang boleh menjadi radikal. Ada pihak yang mengusulkan bahawa mereka yang
cetek pengetahuan atau tidak berpendidikan berisiko, manakala ada pihak lain
yang menuding jari ke arah kemiskinan sebagai faktor utama.
.
Golongan belia juga dipandang sebagai lebih
berisiko dengan kecenderungan memutarkan idea menjadi sebahagian perjalanan
berbahaya kepada sesuatu yang indah.
.
Bagaimanapun, satu kajian yang diterbitkan
pada 2016 oleh para ahli psikologi Kementerian Ehwal Dalam Negeri yang
mendampingi para indivisu yang menjadi radikal mendapati bahawa tiada profil
tetap yang berupaya mengenal pasti seseorang berisiko menjadi tertarik kepada
pengganasan.
.
Satu lagi kes melibatkan Kenny yang
ditangkap di sebuah pusat transit di sebuah negara lain semasa beliau dalam
perjalanan ke Syria dengan rancangan untuk menyertai kumpulan militia yang
bertempur dengan ISIS.
.
Kenny dihantar pulang ke Singapura di mana
siasatan menunjukkan bahawa tindakannya adalah sebab beliau mahu melarikan diri
daripada masalah kewangan. Kegagalan dalam perniagaan menyebabkan Kenny
berhutang dengan beberapa bank yang “bernilai lima angka” secara
keseluruhannya.
.
Dengan menjalani pemulihan menyusuli
penangkapan mereka, kesihatan mental dan emosi para individu berkenaan
dipertimbangkan. Mereka bukan sahaja menerima kaunseling agama, tetapi juga
kaunseling psikologi.
.
Para pegawai pemulihan akan menjelaskan
sebarang kesangsian para tahanan mengenai sistem, seperti bagaimana mereka akan
dipulihkan.
.
ISD menyatakan bahawa para tahanan juga
boleh menghuraikan salah faham mereka mengenai konsep-konsep Islam dan
berbincang tentang keprihatinan dan perasaan mereka tentang perkara-perkara
yang tiada kaitan dengan agama.
.
Sejak 2002, hampir 90 individu ditahan di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi kegiatan-kegiatan berhubung
pengganasan. Buat masa ini, sekitar tiga suku daripada mereka sudah dibebaskan
daripada tahanan. Setakat sehingga 20 Jun tahun ini, terdapat 21 orang yang
ditahan dan lagi 21 yang lain dikenakan perintah sekatan, yang sebagai contoh,
menghadkan dan memantau pergerakan mereka.
.
Kredit: Berita Media Corp – 8 April 2018
.
FOLLOW US 👇
.
Comments
Post a Comment