DUNIA Islam kini sedang dipanggang oleh api
kezaliman Yahudi dan musuh-musuh Islam. Islam dilabelkan sebagai agama
pengganas, fundamentalis, ekstremis dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah
agama suci yang diredai Allah SWT dan dijamin kesejahteraan hidup dunia serta
akhirat.
Para pendakwah, ulama dan mujahid Islam
dicop sebagai militan. Sedangkan pengganas sebenar dianggap wira sejagat.
Yahudi dan puaknya semakin berani menghina Allah dan Rasulullah.
Natijahnya, segala tohmahan ini menyebabkan
kehidupan umat Islam dilanda kemelut berpanjangan. Justeru, perlulah diluruskan
pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang
bersumberkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.
Umat Islam merupakan umat istimewa yang
membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah
SWT sebagai pemimpin kepada umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah,
ayat 143: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang
adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia
agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”
Ulama terkenal, Dr. Yusuf Qaradawi dalam
bukunya, “Sanggahan Salah Tafsiran Islam” menyatakan antara krisis umat Islam
yang amat Membimbangkan ialah pemikiran, kekurangan ilmu pengetahuan dan moral.
Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kebekuan fikiran, tafsiran melulu dalam
bidang fikah, keraguan dalam akidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan
dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.
Oleh demikian, kita harus bangun dan
membetulkan kefahaman terhadap Islam dengan mengikuti jalan yang sebenarnya.
Dengan bekalan ilmu di dada dan berfikir
terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal pekerjaan yang
benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran.
PEMANGKIN UMMAH
Jihad dalam keilmuan menjadi nadi pemangkin
ummah. Selain bermaksud melawan hawa nafsu dan berperang melawan kafir harbi
(musuh), ia juga bermaksud segala usaha bersungguh-sungguh sama ada dalam
bentuk perkataan dan perbuatan berserta niat ikhlas demi menegakkan kalimah
Allah SWT di atas muka bumi.
Berjihad memartabatkan budaya ilmu dalam
kehidupan merupakan satu usaha amat penting. Ilmu merupakan alat utama paling
berharga kepada manusia. Ia dapat merubah manusia daripada jahil kepada tahu,
gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia dan batil kepada benar.
Seseorang yang berilmu bukan sahaja
memiliki kebenaran, malah mempunyai keyakinan dan kesedaran terhadap
tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara serta tugas
tertinggi iaitu menjadi khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa
beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam
meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu
sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada
kedua ibu bapa.”
Sayidina Ali k.w. berkata: “Ilmu adalah
lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu.
Harta akan bekurangan bila kau nafkahkan. Sedangkan ilmu bertambah subur bila
kau nafkahkan. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang
dihakimi.”
AGENDA TERSIRAT
Kesungguhan Barat, terutama pihak
orientalisme dan sekuralisme mencengkam akidah, akhlak, pemikiran dan syariat
Islamiah adalah untuk melihat kemusnahan dan kehancuran Islam serta umatnya.
Oleh yang demikian, jelas bahawa ideologi
berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip al-amal bil makruf wan nahyu ani
mungkar menjadi syarat paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin
daulah Islamiah yang berkualiti.
Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk
tubuh dan bergantung kepada pengalaman serta nama Islam sahaja tanpa berusaha
mencapai peningkatan dalam bidang ilmu pengetahuan yang pelbagai.
Hakikatnya, tiada penentangan langsung
antara agama dengan tamadun sebagaimana dilabelkan oleh Barat. Sebaliknya,
adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam.
Antara formulanya ialah semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas
landasan ajaran Islam yang sebenar.
Dengan kekuatan keimanan, ketakwaan berserta
dengan ilmu pengetahuan yang luas, maka umat Islam yang mempunyai akidah teguh
iaitu tauhid rububiyah dan uluhiyyah mampu bangun untuk berjihad menentang
kedurjanaan musuh Islam.
.
Kredit: Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Ai
Pao melalui Utusan Melayu (M) Bhd – 25 Mei 2016
.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/…/jihad-dalam-membudayakan-ilmu-1.…
FOLLOW US 👇
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment