KURANG FAHAM PUNCA SERTAI GERAKAN RADIKAL




PERGERAKAN radikal sering dikaitkan dengan permasalahan dalaman politik negara-negara Islam masa kini. Ketidakstabilan ekonomi, politik dan sosial dalam sesebuah negara adalah punca utama wujudnya pergerakan radikal terutamanya di negara-negara Arab dan negara miskin. Kegelisahan, kemiskinan dan kekejaman rejim terhadap rakyat adalah fenomena bagi negara-negara tersebut. Apabila sistem pemerintahan dan pentadbiran negara tidak stabil maka negara tidak dapat membangun dan berkembang dalam aspek ekonomi dan pembangunan.
.
Rakyat di negara-negara tersebut akan terpinggir dari arus pembangunan terutama dalam aspek pendidikan dan seumpamanya. Pendidikan adalah aspek terpenting bagi pembangunan negara dan kestabilan ekonomi sosial dan politik. Rakyat yang tidak terdedah dengan sistem pendidikan secara komprehensif dalam aspek konvensional dan keagamaan amat mudah terpengaruh dengan pelbagai ideologi sama ada berbentuk liberal, fanatik atau radikal.
.
Gabungan pembelajaran konvensional dan keagamaan secara komprehensif amat penting bagi membentuk masyarakat Islam yang mempunyai daya pemikiran yang rasional dan bernas. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan pelbagai ilmu pe¬ngetahuan berkaitan sains kemanusiaan dan ilmu wahyu kepada pelajar. Pemisahan pembelajaran berkaitan ilmu kemanusiaan, ilmu wahyu dan ilmu sains dan teknologi adalah satu kesilapan yang besar dalam sistem pendidikan mengikut ajaran Islam.
.
Setiap pelajar Islam sepatutnya didedahkan dengan ilmu-ilmu wahyu dan sains kemanusiaan walaupun mereka dari aliran sains dan teknologi. Pengabaian dalam aspek ilmu wahyu dan sains kemanusiaan boleh menyebabkan pelajar dari aliran sains dan teknologi kurang berkemampuan untuk menilai sesuatu ideologi yang didedahkan kepada mereka bertepatan dengan konteks ajaran Islam atau realiti yang wujud masa kini.
.
Kajian berkaitan pergerakan radikal dalam negara Islam menunjukkan bahawa majoriti ketua dan ahli pergerakan radikal adalah terdiri daripada mereka yang berkelulusan dalam aliran sains dan teknologi seperti bidang kejuruteraan. Pelajar dalam aliran itu tidak didedahkan dengan ilmu berkaitan sains kemanusiaan dan pengajaran ilmu wahyu secara komprehensif. Mereka mudah dipengaruhi oleh idea-idea radikal yang melaungkan slogan jihad dan syahid tanpa memahami konteks ajaran Islam dan sosio-budaya, ekonomi dan politik negara Islam yang bergolak.
.
Kemajuan telekomunikasi memudahkan golongan radikal menyebarkan ideologi mereka merentasi sempadan geografi. Ideologi yang disebarkan itu mampu membangkitkan semangat perjuangan untuk menubuhkan negara Islam secara radikal tanpa berlandaskan kepada realiti dalam negara Islam lain. Bagi mereka, setiap umat Islam perlu bangkit dan berjuang untuk menubuhkan negara Islam di bawah satu naungan pemerintah yang dipimpin oleh sistem khalifah sepertimana wujud pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
.
Remaja dan pelajar dari negara-negara Islam yang miskin mudah dipengaruhi oleh ideologi radikal begini kerana kemiskinan dan kegelisahan dalam kehidupan meruntuh hati nurani mereka. Oleh itu, mereka yakin bahawa penubuhan negara Islam adalah satu pilihan yang terbaik bagi menghapuskan kemiskinan, kesengsaraan dan korupsi.
.
Apabila remaja dan pelajar kolej dan universiti sudah dipengaruhi oleh ideologi radikal maka amat sukar untuk memulihkan pemikiran dan hati mereka supaya meng¬hayati ajaran Islam secara moderat dan komprehensif kerana ideologi radikal sudah menjadi doktrin dalam kehidupan mereka. Mati syahid dan berjihad sudah sebati dalam jiwa mereka sehingga mereka hilang pertimbangan akal mengenai haram dan halal mengikut konteks ajaran Islam berkaitan hubungan sesama manusia.
.
Mereka ini akan menjadikan institusi pengajian tinggi tempat yang paling strategik bagi pergerakan radikal menambahkan bilangan ahli dan pengaruh mereka. Ini adalah satu fenomena kebanyakan institusi pengajian tinggi di negara Arab. Kajian sarjana sosiologi menunjukkan di Mesir ahli pergerakan radikal ramai terdiri daripada lelaki dan wanita yang berpendidikan daripada universiti dan kolej yang terkenal dalam negara itu terutamanya dalam bidang perubatan, farmasi dan kejuruteraan.
.
Mereka menguasai kebanyakan daripada persatuan pelajar universiti. Pengaruh mereka juga tersebar dalam kalangan profesional, juruteknik, petugas (functionaries), guru-guru dan pegawai-pegawai yang muda.
.
Malaysia sudah menjadi satu destinasi baru bagi pergerakan radikal untuk bergerak lantaran kemajuan teknologi telekomunikasi. Pelajar universiti dan kolej lebih berminat menambahkan ilmu agama mereka melalui internet, blog serta YouTube daripada menghadiri ceramah agama yang hanya membicarakan isu-isu berkaitan hal ehwal peribadi dan perkahwinan di mana kadang-kadang isu-isu yang dibicarakan itu tidak bertepatan dengan konteks dan realiti yang wujud dalam masyarakat masa kini.
.
Penyampaian ilmu wahyu jika hanya ditumpukan kepada persekitaran permasalahan peri¬badi tanpa melihat kepada realiti yang wujud dalam masyarakat bukan sahaja boleh menyebabkan pengajaran agama Islam tidak dapat direalisasikan dalam kehidupan masyarakat Islam seharian berdasarkan kepada konteks masa kini malah boleh menyebabkan pelajar universiti dan kolej beranggapan pendakwah Islam dalam negara ini kurang memiliki kemahiran dalam ilmu wahyu dan tidak sehebat dengan ketua-¬ketua pergerakan radikal yang sering membicarakan permasalahan ekonomi, sosial dan pergolakan politik dalam dunia Islam. Ini adalah satu perkara yang sepatutnya dikaji dan direnung oleh cendekiawan dan pendakwah Islam dalam negara ini.
.
Kemudahan mendapat ilmu melalui internet memberi peluang yang paling baik untuk mereka melihat pergolakan politik yang lebih mencabar dalam dunia ¬Islam lain jika dibandingkan dengan isu-isu politik yang dibicarakan oleh parti-parti politik Islam dalam negara ini. Oleh itu, mereka lebih berminat dan komited mendengar dan mengikuti ideologi yang disebarkan oleh ketua-ketua pergerakan radikal dari negara luar yang bertarung bersama ahli-ahli dalam pertempuran berdarah. Suasana begini boleh membangkitkan semangat jihad mereka dan melibatkan diri dalam pergerakan tersebut.
.
Berdasarkan kepada penjelasan di atas maka amat perlu cara penyampaian ilmu wahyu kepada masyarakat dan remaja Islam perlu dikaji secara mendalam sebelum disampaikan kepada masyarakat.
.
Individu yang ingin membi¬carakan ilmu wahyu semestinya orang yang mendapat pendidikan Islam secara komprehensif supaya ajaran ilmu tersebut tidak disalah tafsirkan.
.
Penulis: PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
.
Kredit: Utusan Malaysia – 26 Ogos 2016
.
#alhaqcentre
#utusanmalaysia
#tolakfahamanradikal
#cintakankeamanan
#hargaikeharmonian
#hentikansengketa
#toleransibersama
#sayangimalaysiaku
#tanahtumpahnyadarahku
#malaysianagainstterrorism
#saynotoextremism
#stopviolence
#loveforall
.
IKUTI KAMI DI 👇
.


Comments