MASIH ADA RAKYAT TIDAK HARGAI KEAMANAN DAN KEHARMONIAN NEGARA


PETALINGJAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor kesal kerana masih ada dalam kalangan masyarakat di negara ini yang tidak menghargai keamanan dan keharmonian yang dikecapi sedangkan ia dicemburui negara luar.
Mengambil contoh pergolakan yang berlaku di selatan Thailand, beliau berkata rakyat negara ini sewajarnya bersyukur dengan nikmat keamanan yang dinikmati walaupun negara ini dihuni pelbagai kaum dan agama.

“Apabila dilantik sebagai fasilitator baharu rundingan damai di wilayah selatan Thailand Ogos tahun lalu, saya berkesempatan menghadiri ‘peace talk’ (rundingan aman) di antara kerajaan Thailand dan puak pemisah.

“Ada di antara pejuang itu pernah melarikan diri ke negara ini kerana menjadi buruan di negara kita dan apabila pulang ke sana, mereka nyatakan rasa kagum dengan kedamaian di negara ini.

“Ini sekali gus menjadi contoh dan menimbulkan rasa insaf dalam kalangan mereka.. itu cara orang luar melihat kita, mereka kagum dengan keamanan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Meraikan Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) anjuran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Hotel Armada di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau kesal apabila ada rakyat di negara ini mengambil mudah dan tidak menghargai keamanan sekali gus menafikan pengorbanan yang dibuat anggota pasukan keselamatan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keamanan negara ini terus kekal.

Namun bagi warga PDRM, katanya, mereka perlu merasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada tonggak keamanan walaupun tidak disedari mereka yang tinggal di negara ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd.Zani Che Din berkata, majlis itu khusus untuk menghargai pesara polis yang menetap di dalam kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya.

“Ini adalah penganjuran kali ketiga sempena Peringatan Hari Polis yang disambut setiap tahun dan daripada lebih 200 veteran polis yang menetap di daerah ini, 65 orang dapat hadir pada majlis kali ini.

“Turut hadir hari ini adalah bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad, dan bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri J. J. Raj yang terbabit dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada Januari 1950,” katanya.

Sumber: Berita Harian – 29 Mac 2019
https://bit.ly/2NZl7kH

FOLLOW US 👇

https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments