PENSYARAH Hubungan Etnik UiTM cawangan Negeri Sembilan, Prof Madya Dr Abdul Halim Ramli.
KITA sering dimomokkan kepelbagaian dan perbezaan agama
boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang budaya. Namun, jika
mengkaji agama secara mendalam, kita pasti mendapati nilai kebaikan sejagat
terkandung dalam setiap ajaran akan menitikberatkan hidup harmoni, kasih sayang
dan perpaduan serta mencela permusuhan.
.
Mutakhir ini, wujud segelintir yang mencerca agama lain
disebabkan kejahilan atau bersifat phobia. Ia perlu dibanteras untuk
mengelakkan negara terjerumus dalam konflik agama, sekali gus memperlihatkan
kelemahan dalam membentuk masyarakat celik kepelbagaian. Justeru, literasi dan
kepelbagaian agama perlu diberi pendedahan dalam institusi pendidikan formal.
.
Walaupun setiap agama mempunyai perbezaan mendasar terutama
konsep ketuhanan dan kepercayaan, nilai sejagat boleh dijadikan landasan
memupuk keharmonian dan perpaduan yang dianggap nilai dikongsi bersama dan
titik persamaan dalam aspek moral.
.
Menurut Prof Idris Zakaria, beberapa nilai diamalkan
pelbagai kaum dan agama boleh diguna pakai untuk tujuan pemupukan perpaduan
antara kaum. Contohnya sikap toleransi, kesederhanaan dan kasih sayang oleh
Confucius; chun tze (keperibadian agung) dan kemesraan hubungan manusia-alam
oleh Lao-Tze serta nilai salam (kedamaian) dan kemuliaan manusia oleh Islam.
.
Menurut Prof Tu Wei Min, nilai bersama yang relevan dikongsi
bersama dalam masyarakat pluralistik ialah kemanusiaan, kebenaran, kesopanan,
kearifan, saling mempercayai dan perdamaian.
.
[Membudayakan Nilai Toleransi]
.
MASYARAKAT pluralistik yang harmoni, membudayakan nilai
toleransi yang didefinisikan sebagai sabar dan bertolak ansur atau berlebih
kurang, dapat menerima serta menghormati pendapat dan kepercayaan orang lain.
Juga sikap adil kepada orang lain dan menerima hak mereka dalam perbezaan kepercayaan
agama serta politik.
.
Sifat toleransi dalam hubungan kaum ialah sikap tolak ansur
dan memahami perbezaan serta kepelbagaian agama, budaya dan sistem nilai yang
wujud dalam masyarakat. Antaranya, memahami hak golongan majoriti dan minoriti,
mempunyai sifat keterbukaan, kesederhanaan serta menjauhi sifat taasub atau
radikal.
.
Bagaimanapun, toleransi beragama bukan bermaksud melihat
semua agama sama seperti didukung faham pluralisme agama yang mendakwa tiada
mana-mana agama mempunyai sumber kebenaran ekslusif.
.
Nilai atau sikap toleransi menurut pandangan Islam
berdasarkan apa dimodelkan Nabi Muhammad SAW seperti nilai ditunjukkan Baginda
terhadap ahli keluarga yang tidak memeluk agama Islam, layanan terhadap
penduduk Makkah dan bekas musuh semasa mereka menyerah diri.
.
Nabi SAW melarang orang Islam daripada menzalimi tahanan
atau Muslim yang berdosa, malah Baginda tidak bertindak keterlaluan atau keras
dalam mana-mana pun keadaan itu.
.
Firman Allah SWT: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik
dan berlaku adil kepada orang tidak memerangi kamu kerana agamamu dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang
berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
.
Sifat toleransi dapat dilihat dalam perbuatan khalifah Islam
seperti Khalifah Abu Bakar RA yang berpesan kepada ketua tenteranya, Usamah RA
supaya jangan mengganggu paderi dan orang beribadat di tempat ibadat.
.
Tindakan itu memberi petunjuk kepada umat Islam bahawa
mengganggu tempat ibadat pun sudah dilarang, apatah lagi tindakan keganasan ke
atas tempat berkenaan.
.
Perlembagaan Madinah bukti Islam menggalakkan kerjasama dan
perpaduan antara Muslim, Kristian dan Yahudi. Ia dikemukakan secara bertulis
untuk menjamin kebebasan, termasuk beragama, persamaan dan keadilan untuk semua
kaum serta agama.
.
Sikap toleransi dapat dilihat apabila mengiktiraf hak
golongan minoriti yang bukan sebangsa atau seagama mereka. Kerajaan Turki
Uthaminiyah memberikan contoh toleransi Islam tinggi kepada negara jajahannya
dan masyarakat bukan Islam.
.
Ia diakui ahli falsafah dan sejarawan Perancis, Gustav Lobon
dalam bukunya, Hadharah al-Arab yang berkata: “Sebenarnya setiap umat tidak
pernah mengenali sikap toleransi orang membuka negara mereka seperti sikap
orang Arab (Islam) dan tiada agama bertoleransi seperti agama mereka.”
.
[Pandangan Agama Dihormati]
.
BEGITU juga apabila Islam menguasai Afrika Utara, orang
Islam bukan sahaja tidak menzalimi rakyat Kristian atau mencampuri urusan
dalaman gereja, malah diberi kebebasan penuh berkaitan agama. Pandangan agama
mereka dihormati dan dijamin keadilan dalam hubungan dengan orang Islam, bukan
dengan dendam atau benci.
.
Bagi non-Muslim yang berpegang kepada ajaran Konfusianisme,
nilai toleransi dapat dikesan melalui konsep ren atau kemanusiaan ditunjangi
nilai shu (mengutamakan orang lain) dan zhong (dedikasi). Nilai shu membawa
makna mengawal perasaan dan keinginan supaya tidak melakukan kepada orang lain
perkara yang tidak ingin orang lain lakukan pada kita, sekali gus membawa sifat
mulia hati, toleransi dan belas kasihan.
.
Ajaran Konfusianisme mengandungi empat etika, iaitu diri,
keluarga, bangsa dan komuniti dunia. Dalam etika komuniti dunia, Confucius
memperkenalkan pemikiran datong atau kesatuan sejagat yang dunia dikongsi semua
bangsa.
.
Mengikut Ken dan Viskha dalam tulisan, Tolerance in
Buddhism, etika agama Buddha menggariskan sikap toleransi kepada agama lain dan
pengikutnya, sekali gus tidak membenarkan sebarang kekerasan sama ada
percakapan, tindakan atau pemikiran.
.
Konsep Dhamma disebut sebagai ehipassiko, iaitu mengajak
seseorang melihat ke dalam diri sendiri. Pengasasnya, Gautama Buddha mengajar
pengikutnya mengenai jalan mencapai pembebasan dan kepentingan kesabaran,
toleransi serta tanpa kekerasan, selain menentang diskriminasi perkauman serta
prejudis.
.
Ringkasnya, Islam dan agama Timur lain mengajar pengikut
mereka mengamalkan sikap toleransi termasuk membabitkan penganut agama lain.
Pemahaman nilai toleransi dan kebaikan sejagat dikongsi bersama akan dapat
mengukuhkan perpaduan antara agama serta kaum, sekali gus mengelakkan konflik
dalam masyarakat majmuk.
.
Kredit: Penulis - Prof Madya Dr Abdul Halim Ramli, Pensyarah
Hubungan Etnik UiTM cawangan Negeri Sembilan via Berita Harian (20 April 2019)
.
FOLLOW US 👇
.
Comments
Post a Comment