RAKYAT MALAYSIA TERUS BERUSAHA SERTAI IS DI TIMUR TENGAH


Walaupun Negara Islam (IS) telah dikepung dan akhirnya kecundang di kubu terakhirnya di Syria, namun ramai rakyat Malaysia masih merancang perjalanan untuk menuju ke tempat yang dikatakan ‘khalifah’ itu kerana mahu berjuang bagi pihak kumpulan ekstremis tersebut, menurut pegawai anti-pengganas tertinggi Malaysia.
.
Seramai 102 rakyat Malaysia telah memasuki Syria dan Iraq sejak 2013 dengan harapan untuk menyertai IS tetapi 40 daripada mereka telah terbunuh dalam pertempuran atau akibat lain termasuk sembilan orang yang terlibat dalam pengeboman bunuh diri manakala 11 orang lagi telah kembali ke tanah air, kata pegawai polis Malaysia itu.
.
"Ada yang masih terpengaruh dengan propaganda IS, dan mereka merancang untuk pergi ke Syria. Bagaimanapun, disebabkan kesukaran untuk memasuki Syria, rancangan mereka terbantut," kata Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengetuai bahagian anti-pengganas di Cawangan Khas kepada BeritaBenar. Cawangan Khas adalah sayap perisikan Polis Diraja Malaysia.
.
Pada masa yang sama, seramai 51 rakyat Malaysia termasuk 17 kanak-kanak masih berada di Timur Tengah tetapi enam orang daripada mereka sedang cuba untuk kembali ke tanah air, katanya dalam satu temu bual menerusi aplikasi WhatsApp.
.
Kesemua 51 orang itu berada di sekitar Deir ez-Zor, bandar terbesar di timur Syria.
.
"Berikutan kekalahan demi kekalahan IS, kumpulan ini (rakyat Malaysia) telah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Pada ketika ini, maklumat yang kami terima adalah bahawa beberapa rakyat Malaysia kini berada di sekitar Deir ez-Zor," kata Ayob kepada BeritaBenar.
.
Kanak-kanak Malaysia yang berada di Syria adalah berumur antara 7 bulan hingga 10 tahun, katanya.
.
"Kami mempunyai maklumat yang mereka telah menjalani latihan para-tentera. Sudah semestinya pemikiran mereka berbeza dengan kanak-kanak lain kerana mereka dibesarkan di sebuah negara yang dilanda perang," kata Ayob, sambil memberitahu bahawa polis Malaysia mempunyai gambar terbaru beberapa kanak-kanak itu.
.
Sementara itu, Ayob menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia juga sedang meninjau peluang untuk menyertai militan pro-IS di Mindanao, pulau terbesar di selatan Filipina.
.
"Kemungkinan mereka (penyokong IS) berpindah ke negara-negara jiran seperti di Mindanao adalah sangat tinggi kerana mereka mahu menyertai kumpulan seperti Daesh umpamanya Kumpulan Maute dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG)," kata Ayob, yang merujuk IS kepada namanya dalam bahasa Arab.
.
Pada Mei 2017, militan pro-IS daripada Kumpulan Maute dan ASG telah menawan bandar Marawi di selatan Filipina yang mencetuskan pertempuran selama lima bulan dengan pasukan kerajaan sehingga menyebabkan kemusnahan bandar itu dalam usaha memaksa para ekstremis itu supaya menyerah diri.
.
Artikel penuh: Amy Chew via BenarNews – 25 Februari 2019
https://bit.ly/2FHtGgl

FOLLOW US 👇




Comments