ISLAM yang dianut
lebih 1.6 bilion umat di seluruh dunia sering disalah faham oleh media dan
masyarakat Barat, hatta setengah golongan di Malaysia. Islamophobia (kegentaran
terhadap Islam) semakin berkembang di Barat dan ia dikaitkan dengan Islam
sebagai agama ekstremis, teroris dan fundamentalis.
.
Salah faham
terhadap Islam terjadi sejak Perang Salib lagi diikuti dengan dendam Salibiyah
dalam bentuk penjajahan di negara umat Islam dan menyebabkan orang Islam
terjajah pemikirannya, mengagumi Barat secara melulu dan diikuti dengan
pendekatan orientalis (pengkaji tentang Timur) yang memesongkan tafsir al-Quran
dan hadis dan menghasilkan universiti di Barat untuk mendi¬dik orang Islam
menjadi liberal dan pluralis (menganggap semua agama sama benarnya).
.
Islam pada
prinsipnya bermakna salama atau sejahtera dan membawa mesej damai. Dakwah Islam
mengambil pendekatan bil hikmah atau bijaksana. Tarbiah atau pendidikan Islam
mementingkan binaan akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Seorang Islam yang baik
ialah yang me-nyumbang ke arah kebaikan dirinya dan kebaikan orang lain.
.
Latar wujudnya
gerakan seperti Taliban atau Isis atau Daesh tidak mengikut ajaran Islam yang
sebenar dan mereka terjebak antara kebencian terhadap penakluk yang melakukan
penguasaan ke atas negara Islam dan bangun melakukan pemberontakan dan
penentangan.
.
Bayangkan suatu
ketika di puncak tamadun Islam berkembang di zaman Abbasiyah dan Andalusia,
kajian sains Islam berkembang dan sarjana Barat mendatangi tamadun Islam dan
menterjemahkan karya-karya sains, perubatan, matematik, astronomi ke dalam
bahasa Ibrani, Latin dan Hebrew. Kalau tamadun Islam itu sifatnya teroris dan
ekstremis, mana mungkin ilmu Islam dikembangkan ke Barat hingga menyebabkan
Barat mengalami pro¬ses pencerahan ilmu dan akhirnya membangun tamadun
kebendaan dan sekular.
.
Pemahaman orang
Barat terhadap konsep religion (agama) hanya dalam batas kepercayaan. Tetapi
keyakinan orang Islam terhadap Ad Deen (agama) tidak dalam batas sistem
kepercayaan semata-mata tetapi ia suatu cara hidup. Tidak sahaja akidah tauhid
diimani, ibadah dalam maksud yang luas diamalkan, syariah menjadi jalur hukum
yang menunjukkan jalan terbaik dalam kehidupan dan akhlak sebagai binaan diri
yang menjadi contoh te¬ladan dan sumber ikutan. Asas ini berkembang dalam
binaan tamadun yang bertahan hampir 700 tahun.
.
Sejak 700 tahun
yang lalu tamadun Barat yang sifatnya kebendaan dan sekular menjadi tarikan
umat Islam mendapatkan ilmu dan membentuk budaya dan cara hidup berasaskan
Acuan Barat. Sebaliknya, Islam dilihat sebagai agama ritual dan ceremonial
tidak lagi sebagai suatu cara hidup.
Sejak kembali
semula kebangkitan Islam sebagai Ad Deen, kesannya berlaku di dunia Islam
termasuk penga¬ruhnya mula meresap ke dalam masyarakat Barat. Ia me¬nimbulkan
kebimbangan dalam kalangan masyarakat Ba¬rat yang sedang mencari makna diri dan
keyakinan.
.
Di tengah-tengah
kebebasan masyarakat Barat dalam budaya hidup mereka mengamalkan hak asasi
manusia tanpa pedoman dan batas agama, amalan lesbian, gay, homoseksual dan
transgender (LGBT) yang semakin meluas dan dibenarkan oleh undang-undang bakal
menggugat sistem keturunan dan warisan zuriat kerana test-tube baby bakal
menjadi alternatif dan ianya warisan yang tidak fitrah sifatnya dan jangka
panjang bakal menimbulkan krisis keluarga dan masyarakat.
.
Atas kebimbangan
Islam mampu berkembang di Barat, Islamophobia muncul dan dijadikan benteng
supaya Barat harus waspada dengan Islam dan label-label negatif terhadap Islam
dilontarkan supaya kegentaran wujud dalam kalangan orang Barat terhadap Islam.
.
Hal tersebut sedang
mula kelihatan dirasakan di Malaysia. Kewujudan institusi Islam dilihat secara
negatif sedangkan pengurusan Islam dan umat dirasakan amat penting kerana Islam
mendidik umatnya berlaku adil, memiliki sifat amanah dan timbang rasa, memacu
sifat tole¬ransi dan kerjasama antara kaum atas asas yang benar dan bersifat
manusiawi.
Bagi Malaysia yang
sifatnya majmuk rasa kemanusiaan tinggi, toleransi dan saling-memahami antara
satu sama lain, bersifat menyumbang terhadap yang tidak berada, tidak sombong
dan takbur dalam hubungan kemasyarakatan supaya sifat mengambil berat ini
memberi erti yang bermakna kepada seluruh warga Malaysia.
.
Masyarakat Malaysia
yang berpegang kepada ajaran agama sudah tentu mengajar nilai-nilai kebaikan
sesama manusia. Ia sudah tentu menyumbang kepada keselamatan dan keamanan
negara. Lebih-lebih lagi Islam mela¬rang umat mencetuskan pergaduhan tanpa asas
yang selari dengan keperluan syarak. Ia penting disuburkan supaya kedudukan
Islam di Malaysia ditanggapi sebagai Ad Deen iaitu suatu sistem kepercayaan dan
cara hidup seperti yang terungkap dalam Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan
Negara, “Islam Sebagai Agama Persekutuan”.
.
Penulis, DATUK DR.
SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) melalui Utusan Online – 24 Julai 2018
.
FOLLOW US 👇
.
Comments
Post a Comment