SRI LANKA: Orang ramai
panik dan lari bertempiaran selepas kejadian siri letupan yang mensasarkan tiga
gereja dan tiga hotel di Sri Lanka ketika sambutan Hari Easter pada Ahad.
Berdasarkan satu
rakaman amatur yang disiarkan agensi antarabangsa, dipercayai dirakam di salah
sebuah gereja terbabit, orang awam dilihat berlari lintang-pukang untuk
menyelamatkan diri.
Dalam video berdurasi
hampir satu minit itu juga kelihatan beberapa mayat mangsa yang terkorban
terbaring di tanah, sementara orang awam dilihat masuk dan keluar dari dalam
bangunan yang musnah. Mereka memijak serpihan kaca yang pecah.
Setakat ini, media
tempatan melaporkan sekurang-kurang 137 terkorban dalam siri serangan tersebut
termasuk sembilan warga asing. Manakala, hampir 500 sedang dirawat di hospital.
Difahamkan, hotel dan
salah sebuah gereja tersebut terletak di Colombo, manakala sebuah lagi gereja
di Negombo, utara bandar berkenaan.
Salah satu letupan
tersebut berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.
Dalam perkembangan
lain, pihak berkuasa Sri Lanka memaklumkan letupan ketujuh dilaporkan berlaku
di Dehiwela, berhampiran pusat bandar Sri Lanka sebentar tadi.
Sementara itu,
Kementerian Luar dalam satu kenyataan media pada Ahad memaklumkan tiada rakyat
Malaysia terlibat dalam kejadian letupan tersebut.
Sehingga kini, tiada
pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap siri letupan tersebut.
Sumber: Astro Awani –
21 April 2019
https://bit.ly/2DrQujP
FOLLOW US 👇
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment