[ARTIKEL] CORAK TERKINI TERORISME ALAF BARU (NEW TERRORISM) - SIRI 6 -


"BAGAIMANA FENOMENA ISLAMIC STATE (IS) MENERANGKAN CIRI-CIRI TERORISME ALAF BARU"
.
1. Keganasan Yang Berskala Besar.
Serangan-serangan dan keganasan yang dilakukan oleh pengikut IS ataupun symphatiser mereka seperti di Paris (2014 dan 2015) dan Sydney (2013) memberi gambaran pengganas moden mampu melaksanakan serangan yang berskala besar walaupun dengan hanya menggunakan teknik dan teknik yang mudah (low-scale and low-tech). Kumpulan pengganas IS dan affiliasi mereka berupaya melancarkan serangan keganasan untuk mencetuskan kesan psikologi dan trauma kepada sasaran yang lebih besar melepasi sasaran yang disasarkan. Kumpulan pengganas seperti IS ini tidak takut dengan kegagalan kerana serangan yang gagal juga mampu mencetuskan kesan psikologi yang amat kuat kepada sasaran mereka.
.
2. Perkongsian Motivasi dan Inspirasi Berbanding Afiliasi.
Pelaku atau aktor yang melakukan keganasan sekarang tidak semestinya menjadi ahli kepada mana-mana organisasi pengganas. Tindakan dan perbuatan mereka didorong oleh perkongsian sentimen, inspirasi dan motivasi terhadap sesuatu perjuangan. Perkongsian sentimen dan idea ini dipupuk melalui hubungan dalam media sosial seterusnya mencetuskan aksi keganasan atas inisiatif individu tersebut. Pelaku ini dilihat bertindak secara individu tanpa mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tindakan yang diambil bersandarkan kepada semangat ingin berperang dan berjihad hasil daripada motivasi dan inspirasi kumpulan pengganas.
.
3. Propaganda Menarik Penyokong Dari Masyarakat Umum.
Kumpulan pengganas moden kini menggunakan propaganda untuk menarik perhatian masyarakat umum dengan cara membuat deklarasi bahawa sesuatu insiden serangan berlaku (seperti di Paris, di Mali) sebagai satu serangan yang dilakukan oleh pengikut atau penyokong mereka. Ini bertujuan untuk menunjukkan kepada masyarakat global bahawa mereka mempunyai pengaruh dan pengikut yang kuat di seluruh dunia. Walaupun sesetengah insiden keganasan adalah berbentuk domestik tetapi kumpulan pengganas seperti IS ini tetap akan mengatakan bahawa aksi serangan tersebut adalah dilakukan oleh pengikut atau penyokong mereka.
.
4. Menumpukan Kepada Pengawalan dan Meluaskan Wilayah.
Berbanding dengan motif dan strategi kumpulan pengganas di era 1960an-1980an, motif dan strategi militan IS dilihat mempunyai dimensi yang lebih besar iaitu cuba memenuhi kriteria pembentukan sebuah negara dengan menguasai sesuatu kawasan beserta populasinya. Ini adalah penting kepada IS kelak untuk melaksanakan pentadbiran dan Undang-Undang Syariah di samping melahirkan generasi-generasi baru untuk mencapai matlamatnya. Situasi yang berlaku di Syria dan Iraq jelas menggambarkan hasrat IS ini.
.

5. Memaparkan Imej Keganasan. Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh affiliasi dan rangkaian IS di Libya, Afrika dan sebagainya sengaja disasarkan untuk tontonan umum.
IS turut membuat suntingan video terhadap rakaman pembunuhan kejam dengan paparan sinematografi yang canggih. Corak keganasan sebegini secara tidak langsung bukan semata-mata untuk menarik sokongan penyokongnya tetapi cuba menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai dan pihak musuh. IS cuba memberikan kesan psikologi yang amat kuat melepasi kumpulan sasaran mereka.
.
Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron dan Lailatul Afizdha Arip, Sel Keganasan, Direktorat Analisis, BSPP



IKUTI KAMI 👇

Comments