BERSEDERHANA DALAM MEMPERJUANGKAN HAK KAUM, AGAMA ELAK CETUS PROVOKASI - KPN


KUALA LUMPUR, 15 Mei 2019: Individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kepentingan kaum dan agama di negara ini perlu bersederhana dalam tindakan bagi mengelak sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.

.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata masyarakat tidak seharusnya berbalah atas isu remeh sedangkan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak dan kepentingan setiap kaum dan agama di negara ini.
.
“Negara ini cukup cantik, cukup kaya. Orang luar berebut-rebut datang ke negara ini untuk mencari rezeki dan hantar pulang wang ke negara masing-masing, namun kita pula berbalah sesama sendiri atas isu remeh.
.
“Ini termasuklah isu kaum dan agama yang mana perkara itu sudah dijamin oleh perlembagaan negara ini. Tidak ada satu kaum boleh menidakkan hak satu kaum yang lain mengikut apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan.
.
“Tetapi ada juga pihak yang tidak bertanggung jawab cuba memainkan isu sensitif,” katanya.
.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di sini, hari ini.
.
Abdul Hamid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) yang menghargai kejayaan polis mematahkan serangan pengganas dan pembunuhan baru-baru ini, namun pada masa sama mahu beliau mempertimbangkan untuk memberi perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.
.
Penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam berkata, perkara yang membimbangkan ialah pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi.
.
Ini berikutan dakwaan kononnya mereka tidak menghormati Islam dan mempersendakan agama itu.
.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata individu dan NGO yang memperjuangkan kepentingan masing-masing terutamanya yang ada kaitan dengan kaum dan agama perlu bersikap sederhana dalam tindak tanduk mereka.
.
“Bila ada tindakan yang dirasakan berbaur provokasi, ia akan mengundang reaksi agresif daripada individu yang memang ekstrim dan radikal dalam pendirian berhubung sesuatu isu.
.
“Justeru kita kena sama-sama bertanggung jawab untuk mewujudkan suasana harmoni dan saling faham memahami antara satu sama lain.
.
“Polis tegas mengambil tindakan ke atas semua bentuk keganasan tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan politik,” katanya.
.
Kelmarin, Abdul Hamid dalam sidang media memaklumkan empat lelaki, termasuk seorang warga tempatan, ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.
.
Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield tahun lalu.
.
Kredit: Berita Harian Online - 15 Mei 2019
👉 https://bit.ly/2LKogHC


IKUTI KAMI 👇

Comments