KETELUSAN PERANGI KEGANASAN


Persoalan sama ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 akan dimansuhkan atau sebaliknya, masih belum terjawab. Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) hanya menyebut tentang pemansuhan ‘peruntukan-peruntukan yang zalim’ yang terdapat dalam SOSMA 2012.
.
Biarpun SOSMA 2012 bukan digubal semata-mata untuk menangani keganasan, undang-undang itu ternyata memainkan peranan penting dalam strategi negara melawan keganasan.
.
Cadangan sama ada undang-undang itu akan dikekalkan atau dimansuhkan, terdapat dua perkara yang wajib diberi perhatian dalam menggubal atau mengemas kini undang-undang melawan keganasan.
Perkara pertama, semua usaha pencegahan keganasan perlu selari dengan prinsip dan nilai dalam Perlembagaan Persekutuan. Ada tiga nilai mustahak dari Perlembagaan yang wajar diberi penekanan.
.
Nilai pertama, berkait rapat dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang dijunjung Perlembagaan. Kedaulatan undang-undang menekankan aspek pengasingan kuasa di antara institusi utama negara.
.
Berdasarkan prinsip ini, sebarang tindakan yang diambil oleh badan eksekutif misalnya, boleh disemak badan kehakiman atau legislatif. Institusi kehakiman berperanan memastikan pihak eksekutif tidak bertindak di luar bidang kuasa dan hak sivil terpelihara.
.
Peruntukan dalam Akta Pencegahan Keganasan 2015 yang menghalang sebarang semakan kehakiman dibuat wajar dimansuhkan. Parlimen juga berperanan penting dalam menawarkan lindung jamin dalam merangka undang-undang antikeganasan yang efektif dan adil.
.
Nilai kedua, dari Perlembagaan yang perlu ditekankan bersangkutan dengan penggunaan undang-undang khas. Biarpun Perlembagaan membenarkan tindakan tertentu yang bercanggah dengan prinsip utama Perlembagaan diambil, kelonggaran sepatutnya bersifat sementara dan mengambil kira keperluan dan ancaman semasa yang dihadapi negara.
.
Penggunaan undang-undang khas sewajarnya dibataskan dan dipantau keberkesanannya. Undang-undang yang dimaksudkan ialah undang-undang yang digubal untuk menghadapi ancaman atau kegiatan tertentu yang membabitkan penggunaan langkah luar kelaziman.
.
Undang-undang begini mestilah bersifat sementara dan senantiasa dipastikan beroperasi selari dengan niat asal penggubalan.
.
Salah guna kuasa
Sarjana undang-undang sentiasa mengingatkan akan bahaya sekiranya undang-undang khas sebegini dibiarkan berterusan. Normalisasi undang-undang yang di luar kebiasaan lazimnya membuka ruang kepada salah guna kuasa.
.
Kita sudah lihat bagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang bermatlamat melawan pengganas komunis, kemudian diguna pakai di luar tujuan asal.
.
Begitu juga dengan penggunaan undang-undang SOSMA 2012. Jika undang-undang ini dikekalkan, SOSMA 2012 wajar disemak dari semasa ke semasa.
.
Buat masa ini, akta itu disemak setiap lima tahun di Parlimen dan penilaian hanya terhad kepada tempoh menahan suspek selama 28 hari.
Semakan setiap lima tahun pada hemat penulis praktikal dan sesuai, namun penilaian sewajarnya diperluaskan kepada skop lebih besar dalam pelaksanaan langkah khas di bawah SOSMA 2012.
.
Sebelum pembentangan di Parlimen, satu jawatankuasa khas wajar dibentuk untuk mengkaji keberkesanan undang-undang ini pada masa lalu dan sejauh mana keperluannya untuk tempoh lima tahun akan datang.
Nilai ketiga tidak kurang mustahaknya. Perlembagaan ialah pembela hak madani rakyat. Maka nilai ini wajar diterap dalam undang-undang antikeganasan.
.
Berkaitan dengan hal ini, ada satu peruntukan dalam undang-undang antikeganasan yang dibaru digubal di Indonesia yang menarik perhatian penulis.
.
Pasal 25 dan Pasal 28, Undang-Undang Tindak Pidana Terrorisme menyatakan dengan jelas sebarang penahanan dan penangkapan suspek keganasan ‘harus dilakukan dengan menjunjung tinggi prinsip hak asasi manusia’. Sebarang pelanggaran terjumlah kepada kesalahan jenayah.
.
Norma antarabangsa
Selain Perlembagaan, satu lagi rujukan yang tidak wajar dikesampingkan ialah undang-undang dan norma antarabangsa.

Satu daripada saranan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Global Counter-Terrorism Strategy (2006) ialah setiap negara memastikan prinsip hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang diangkat sebagai asas memerangi keganasan.
.
Peranan itu sewajarnya digalas oleh semua pihak yang terbabit, dan bukan hanya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Perkara kedua berkaitan ketelusan. Ketelusan dalam melawan keganasan bukan bermakna pihak berkuasa perlu mendedahkan segala maklumat atau taktik kepada orang awam. Dua langkah berikut wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.
.
Pertama, satu dokumen rangka tindak yang jelas mengenai pendekatan dan strategi negara dalam melawan dan mencegah keganasan di Malaysia.
Dokumen itu berupaya menjadi sumber rujukan berguna, bukan sahaja kepada jentera kerajaan dan pihak berkuasa, tetapi memudahkan ahli masyarakat untuk turut sama membanteras keganasan.
.
Golongan akademik juga berupaya membuat penyelidikan dengan lebih mudah dan menyumbang buah fikiran bagi tujuan itu.
.
Kedua, laporan berkala mengenai pelaksanaan pelan bertindak dan undang-undang berkaitan keganasan. Melalui dokumen ini, pihak kerajaan misalnya boleh mendedahkan jumlah bilangan tangkapan, kes yang didakwa dan disabitkan oleh mahkamah.
.
Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan kepada aspek ketelusan pentadbiran, tetapi turut mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam menangani keganasan secara adil dan berkesan.
.
Selain itu, pelantikan penilai bebas undang-undang antikeganasan seperti yang diamalkan di United Kingdom juga wajar diteliti.
.
Laporan ke Parlimen
Independent Reviewer of Terrorism Legislation yang lazimnya seorang pengamal undang-undang dilantik bagi tempoh tertentu untuk menjalankan penelitian terhadap pelaksanaan undang-undang dan menyediakan laporan untuk dibentangkan di Parlimen dan masyarakat umum.
.
Keperlembagaan dan ketelusan sememangnya dua unsur penting dalam penggubalan dan pelaksanaan semua jenis undang-undang. Namun, mengambil kira undang-undang antikeganasan yang mudah disalah guna oleh pihak berkuasa, dua elemen ini wajar sentiasa ditekankan. Sifat samar pada konsep keganasan dan kekuatannya untuk mendorong orang ramai bertindak secara emosional menyulitkan lagi keadaan.
.
Oleh demikian, prinsip ampuh dari Perlembagaan dan norma madani perlu sentiasa dirujuk, dan proses semak imbang dan aspek lindung jamin dalam undang-undang antikeganasan mesti diperkasakan.
.
Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menjelaskan, “Terrorisme satu serangan langsung terhadap hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Jika kita musnahkan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, maka pengganas sudah mencapai kejayaan.”
.
Kredit: Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia melalui Berita Harian, 3 Oktober 2018



IKUTI KAMI 👇


Comments