"MAHALNYA SEBUAH KEAMANAN"



Bayangkanlah, betapa sukar jika berada dalam situasi peperangan, huru hara tidak berkesudahan, hidup dalam keadaan tertekan penuh penderitaan, segala-galanya dirasakan gelap dan hilang arah tujuan. Begitulah situasi yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di negara-negara yang bergolak.

Kita di Malaysia telah dikurniakan oleh Allah SWT, nikmat keamanan dan kesejahteraan yang amat bernilai bagi kehidupan rakyat di negara ini. Bukan mudah untuk kita berada dalam situasi sebaik ini. Keamanan adalah satu nikmat yang amat berharga dan didambai oleh setiap manusia. Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama Islam pasti akan terus dilindungi. Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara.

Rasulullah SAW menggambarkan bahawa keamanan merupakan salah satu nikmat terbesar di dunia dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi RHM daripada Abu Salamah bin Ubaidillah RA : “Sesiapa di antara kamu berada pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badannya, rasa aman dalam hidupnya, cukup makanannya pada hari itu, maka seolah-olah seluruh dunia dikumpulkan untuknya.” Suasana hidup yang aman damai di negara ini mungki juga boleh tergugat oleh pelbagai bentuk keganasan dan kezaliman.

Kita bukan sahaja berhadapan dengan manusia-manusia rakus yang melakukan pelbagai jenayah seperti bunuh, ragut, rompak, serangan seksual, rasuah, pecah amanah dan sebagainya malah kita juga berdepan dengan jenayah siber seperti penipuan internet atau scammer. Amat menyedihkan melihat sesetengah masyarakat yang berani menyalahgunakan media sosial dengan melakukan penghinaan terhadap Rasulullah, Islam, Institusi Raja, Perlembagaan Negara, kepimpinan negara, institusi agama di samping menyebarkan fitnah dan pelbagai lagi tindakan yang melanggar undang-undang.

Suasana ketidaktenteraman yang dihadapi oleh masyarakat di luar sana di negara-negara bergolak perlu dijadikan iktibar supaya negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara. Allah SWT menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 104;“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perkara yang mungkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung.”

Tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak pada pihak berwajib semata-mata. Kitalah juga yang menjadi penyokong kebenaran, penegak undang-undang, pendokong kesatuan ummah. Amat malang hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat yang telah menyalahgunakan media sosial seperti menerusi whatsapp group, instagram, facebook, twitter, flickr, youtube, wechat dan sebagainya.

Sesungguhnya keharmonian negara ini bukan sahaja berhak dinikmati oleh umat Islam tetapi juga golongan bukan Islam.Pelihara dan jagalah interaksi dan komunikasi kita sama ada secara bersemuka atau di media sosial kerana ianya melambangkan ketinggian sifat, sikap dan akhlak yang mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, hayatilah beberapa kesimpulan sebagai pengajaran :

1. Syukuri nikmat keamanan yang Allah kurniakan dengan berusaha memelihara serta mengekalkan keharmonian dan keselamatan setiap warganegara.

2. Berusahalah untuk memahami dan menghayati akidah ahli sunnah wal jamaah supaya kita tidak terpengaruh dengan pemikiran salah.

3. Kita hendaklah bertanggungjawab bersama dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Naml ayat 89-90 : “Sesiapa yang datang dengan kebajikan maka ia akan beroleh yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh keamanan pada hari kiamat. Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan disembamkan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.”

Kredit: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Petikan Khutbah Jumaat: 15 Mac 2019 / 8 Rejab 1440H

SILA IKUTI KAMI DI 👇

https:/facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments