Militan rancang serangan bom


JAKARTA: Polis anti-pengganas Indonesia menembak mati seorang militan dan menahan enam lagi yang disyaki merancang melakukan serangan bom ketika keputusan pilihan raya diumumkan nanti, selepas menahan tujuh orang di beberapa lokasi sejak minggu lalu.
Reuters melaporkan, jurucakap polis, Dedi Prasetyo, berkata, suspek terbabit ditahan dalam serbuan di Bekasi, Jawa Barat, dengan seorang ditembak mati selepas melontar bom kepada polis.
Menurut AFP, mereka yang ditahan, termasuk di Sumatera dan Jakarta itu adalah anggota Jemaah Anshurat Daulah (JAD), kumpulan pelampau tempatan yang mengaku taat kepada Daish dan bertanggungjawab melakukan serangan bom terhadap gereja di Surabaya, tahun lalu,
“Kumpulan itu merancang menyerang balai polis dan meletupkan bom di beberapa lokasi ketika kerajaan mengumumkan keputusan pilihan raya 22 Mei nanti.
“Mereka merancang merampas senjata api polis dan menggunakannya untuk melakukan keganasan, sama ada sebagai pengebom nekad atau melakukan serangan lain terhadap orang ramai,” kata Dedi.
Menurutnya, polis turut merampas sejumlah bahan letupan.
Berkemungkinan ada perhimpunan besar-besaran atau demonstrasi jalanan selepas calon presiden, Prabowo Subianto, memberi amaran bantahan mungkin berlaku terhadap dakwaannya berlaku penipuan undi besar-besaran.
Subianto berikrar mencabar keputusan pilihan raya presiden jika Presiden Joko Widodo yang kini mendahului jauh, menang untuk penggal kedua.
Jurucakap polis, Dedi Prasetyo berkata, militan merancang menyasar balai polis serta mengambil kesempatan jika berlaku kekecohan ketika keputusan diumumkan.

Comments