'PENGGANAS 3.0' LEBIH BERBAHAYA


Selepas berakhirnya tragedi ‘Easter Bomb’ yang mengorbankan lebih 300 nyawa di Sri Lanka April lalu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan penularan video pemimpin utama ISIS, Abu Bakar Al-Baghdadi melalui saluran media rasmi ISIS, Al-Furqan yang disebarkan ke seluruh dunia. Video berdurasi 18 minit yang memaparkan pesanan oleh Abu Bakar Al-Baghdadi itu adalah yang pertama dikeluarkan selepas lima tahun. Tidak dapat dipastikan dimanakah video ini dihasilkan, akan tetapi ia mempunyai kualiti dan hasil kerja yang agak teliti dan unik. Selain itu, video ini juga membincangkan pelbagai isu berkaitan ISIS serta mengakui kekalahan di Barghuz, kubu terakhir ISIS. Malah Abu Bakar Al-Baghdadi juga beberapa membincangkan serangan bom yang dilakukan di Mali, Sudan dan Algeria selain daripada memuji operasi ISIS di Sri Lanka. Apa signifikan penularan video ini? Ianya boleh diperbincangkan dari pelbagai sudut termasuk fasa baru ISIS yang dinamakan sebagai terroris 3.0.

Semua memahami bahawasanya terroris yang dikaitkan dengan Islam ini muncul sejak 1980an yang dimulai dengan Al-Qaeda dan diikuti dengan ISIS pada awal tahun 2000 hingga kini. Peperangan di Barghuz, kubu terakhir ISIS pada April lalu menandakan berakhirnya khalifah Islam versi ISIS yang diperjuangkan. Kekalahan ISIS kepada Syria Defence Force (SDF), skuad tentera yang ditaja oleh Amerika ini adalah merupakan penamat kepada 6 tahun perjuangan yang berpusat di Iraq dan Syria. Peperangan yang mengorbankan ribuan nyawa dan memecahkan Islam kepada beberapa kelompok berdasarkan aliran keras ini menimbulkan kesan berpanjangan. Islam terus diberikan imej negatif oleh dunia dan pepecahan dikalangan penganut Islam menjadi semakin parah. 

Apa yang pasti, selepas ini akan muncul lagi gerakan pengganas tetapi atas nama yang berlainan. Terroris 3.0 akan muncul tidak lama lagi, ini dapat dibuktikan melalui ucapan yang disampaikan oleh Abu Bakar Al-Baghdadi sebagaimana yang dipaparkan di dalam video tersebut. Beliau telah menggesa para pengikutnya untuk terus-terusan melakukan serangan ke atas mana-mana negara dan aset yang dimiliki oleh musuh-musuh Islam termasuklah di negara-negara Islam. Fasa pengeboman kejam dan bersiri di Sri Lanka dilihat sebagai fasa baru perjuangan terroris pasca ISIS. Beliau juga telah menggesa para pengikutnya untuk melakukan serangan di Amerika, apa yang pastinya kenyataan seperti ini pasti akan berlaku sebagaimana yang terbukti dalam beberapa kejadian sebelum ini. Kemudiannya, akan berlakulah ‘pencarian’ atau pengesanan terroris tersebut di mana-mana negara dan akan berakhir dengan pencerobohan barat sepertimana yang berlaku di Afghanistan, Libya, Sudan, Iraq dan Syria. Modus operandi seperti ini dapat dikesan dalam terroris 1.0 dan 2.0 sebelum ini.

Persoalannya adakah Asia Selatan adalah kawasan baru untuk terroris 3.0 ini? Apa yang pasti, Sri Lanka, India, Pakistan, Bangladesh dan Burma adalah merupakan kwasan strategik  yang boleh digunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan termasuklah terroris. Asia Selatan mempunyai jumlah penganut Islam yang ramai dan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil termasuklah konflik agama diantara Islam dan Hindu/Buddha. Siri-siri pergaduhan antara agama diantara Islam dan Hindu di India mengakibatkan ribuan nyawa melayang terutamanya apabila Pakistan dan India mendapat kemerdekaan daripada British. Kemudiannya, lahirlah Bangladesh yang juga mempunyai sejarah konflik yang panjang dengan India dan Pakistan. 

Hari ini, isu Rohingya di wilayah Rakhine, Burma agak menggusarkan. Jutaan Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian di Cox-Bazaar dan Chittagong di Bangladesh telah mewujudkan banyak isu berkaitan sosio-politik. Kebanjiran pendatang tanpa izin Bangladesh dan pelarian Rohingya ke Asia Tenggara termasuklah Malaysia juga memungkin masalah berpanjangan dan serius pada masa hadapan. Diapora Asia Selatan di suluruh dunia bakal mewujudkan kesan besar dan memastikan perjuangan terroris ini kekal relevan dikalangan pengikutnya. Bangladesh juga menyaksikan kewujudan beberapa kelompok radikal Islam termasuklah Jamaat-Tablighi dan Lashkar El-Jihadi Al-Islami yang mempunyai pengikut yang ramai dan beroperasi secara terang-terangan di Asia Selatan. 

Abu Bakar Al-Baghdadi juga dalam video tersebut meminta para pengikutnya terus kekal dalam perjuangan, terus mengibarkan bendera hitam DAESH dan terus melancarkan jihad tanpa rasa takut dan gentar. Beliau juga mahukan serangan berskala besar seperti di Sri Lanka tersebut dilakukan di negara-negara lain terutamanya Amerika. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa ISIS akan kekal terus beroperasi walaupun tidak lagi mempunyai daerah pentadibiran seperti Iraq dan Mosul. Malah keadaan ini juga dijangka akan menjadi lebih parah apabila ‘Lone Wolf’ atau penyerang secara solo akan bertindak menjayakan agenda ISIS walau dimana mereka berada. Kuncinya adalah menguasai media sosial seperti facebook, twitter, telegram dan lain-lainnya. Selagi dunia terus memerlukan kepada teknologi dan wifi, maka selagi itulah ISIS atau mana-mana kumpulan terroris akan terus kekal beroperasi. 

Video tersebut juga secara simboliknya memaparkan perwatakan alim dan zuhud Abu Bakar Al-Baghdadi, beliau dalam keadaan duduk bersila dan menyampaikan ucapan dan ajaran Islam. Keadaan fizikal yang dipenuhi janggut dan bersuara halus boleh mendatangkan simpati dan meraih sokongan kembali dari para pengikutnya. Senjata separa automatik buatan Rusia, AK47 disandarkan disisinya. Video yang kelihatan hampir sama juga wujud diakhir perjuangan Al-Qaeda dengan ciri-ciri tertentu termasuklah latar tempat, fizikal dan senjata. Sedikit persoalan disini, mengapa senjatanya AK47? Bukannya  M16 buatan UK atau M240 buatan Amerika? Penampilan fizikal yang lebih lembut dan alim juga adalah sama sebagaimana yang dimiliki kedua-duanya. Apa signifikasi kedua-dua video? Pastinya ia bakal mendatangkan pelbagai perdebatan dan analisis di kalangan pakar dan cendiakawan.

Selain itu, harus juga difahami bahawa keadaan di Iraq dan Syria masih belum pulih sepenuhnya. Abu Bakar Al-Baghdadi dan pengikutnya yang pernah menguasai kerajaan berkeluasan 18,000 kilometer persegi serta mempunyai kekayaan yang besar sebelum ini, pastinya akan terus berusaha memastikan sumber kewangan dan dana yang dimiliki adalah mencukupi, jika tidak untuk operasi, sekurang-kurangnya adalah untuk keperluan diri sendiri. Iraq dan Syria masih bergolak dan tidak stabil, malah kehilangan kira-kira 15,000 pengikut ISIS dalam sekelip mata di Iraq dan Syria juga jelas menunjukkan asimilasi mereka dengan masyarakat setempat. Makanya, apabila ada keperluan, ruang dan peluang untuk melancarkan apa sahaja bentuk serangan, pastinya mereka akan laksanakannya. 

Sebab itulah dapat dikatakan bahawasanya, terroris 3.0 ini adalah lebih merbahaya kerana mereka berada dalam kalangan kita. Serangan yang bakal berlaku tidak perlu dikoordinasikan secara pusat sebagaimana ISIS dan Al-Qaeda, akan tetapi ianya boleh dilakukan secara persendirian dan dalaman. Afghanistan, Iraq dan Syria pastinya mempunyai saki baki pengikut yang sedia melancarkan serangan sebagaimana yang dapat kita lihat dari masa ke semasa. Akan tetapi sesiapa sahaja yang berada dimana-mana sahaja di seluruh peolosok dunia ini, pasti bersedia melancarkan serangan ganas dan berdarah seperti di Sri Lanka dan Eropah. Inilah fasa yang lebih merbahaya, mereka bergerak tanpa ketua, tetapi memberikan impak yang cukup signifikan. 

Abu Bakar Baghdadi dalam video tersebut juga menyebut beberapa nama pejuang ISIS yang terkorban termasuklah Fabian dan Jean Michael-Clain, warga Perancis yang juga dikenali sebagai Abu Anas dan Abu Uthman Al-Faransi. Malah beliau juga menjelaskan tentang keupayaan keduanya melancarkan serangan di Paris pada 2015 yang mengorbankan lebih 130 nyawa. Mesej yang tersembunyi disini, Baghdadi cuba membangkitkan lebih banyak pejuang terroris dari Barat yang hidupnya mulia terutamanya dengan melancarkan serangan ke atas Barat. Ini pastinya akan membangkitkan lebih semangat dan bersedia untuk melancarkan serangan atas keperluan dan kapasiti masing-masing. Sumber dalaman ISIS juga mengakui bahawa ini adalah caranya untuk memberikan motivasi kepada para pengikut ISIS dan menaikkan semangat mereka. Maka ISIS versi baru ini secara jelas akan mensasarkan Eropah dan Asia Selatan khususnya.           

Versi terroris 3.0 ini juga menggambarkan bahawasanya  mana-mana kumpulan adalah dipelawa menyertai ISIS. Baghdadi dengan jelas memuji serangan yag dilakukan oleh terroris di Mali dsn Burkina Faso yang disifatkan sebagai bersama-sama memperjuangkan saudaranya di Iraq dan Syria. Pastinya ini menunjukkan bahawa ISIS mahukan lebih ramai kumpulan bernaung di bawah panji-panji ISIS. Maka tidak hairanlah nantinya akan ada lagi kumpulan yang mengaku bertanggungjawab dalm aktiviti keganasan dan dalam masa yang sama memperakukan yang mereka adalah ISIS atau membuat aku janji bernaung di bawah ISIS. 

Kesimpulannya, terroris 3.0 adalah merupakan jelmaan ISIS yang diberi nafas baru. Mereka juga sudah melancarkan apa yang disebut sebagai ‘global terroris’ atas keperluan semasa. Kekalahan dalam peperangan di Barghuz sebenarnya bukanlah pengakhiran dalam perjuangan terroris, akan tetapi ianya bakal mencipta terroris yang baru. ISIS kelihatannya sudah berjaya dihapuskan, akan tetapi nama baru gerakan ini bakal dicipta dalam sedikit masa lagi. Perjuangan menghadapi terroris ini akan kekal berpanjangan kerana terroris tidak perlu kepada sempadan geografi atau senjata konvensional, tetapi mereka hanya memerlukan ideologi dan ianya sudah cukup untuk merosakkan seluruh sistem dan mengancam keamanan sejagat secara total dan berpanjangan.

Penulis: Prof. Madya Dr. Mohd Mizan Aslam
Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Perlis Chapter.

IKUTI KAMI 👇

Comments