-SIRI 5- sambungan II " CIRI-CIRI TERORISME ALAF BARU "


[ARTIKEL] CORAK TERKINI TERORISME ALAF BARU (NEW TERRORISM)

-SIRI 5- sambungan II
" CIRI-CIRI TERORISME ALAF BARU "

Transisi terorisme dilihat banyak dipengaruhi faktor kemajuan teknologi yang lebih canggih. Dalam hal ini, kumpulan pengganas menggunakan aplikasi teknologi dalam melancarkan segala aktiviti keganasan supaya lebih mudah, cepat dan licik. Teknologi juga membantu mereka untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Kemudahan seperti Internet berfungsi menyebarkan naratif serta mesej berbau hasutan dan kebencian terhadap kerajaan serta sasaran mereka untuk meraih simpati dan sokongan. Dari segi kepakaran, kumpulan pengganas pada masa kini mudah untuk mendapatkan akses dalam bidang ini. Secara lazimnya, kepakaran ini disumbangkan oleh pakar-pakar sains komputer yang berjaya di doktrinisasi dengan ideologi pengganas. Adalah menjadi kebimbangan sekiranya kumpulan pengganas mampu mengakses data-data berdarjah rahsia, maklumat risikan dan pasukan keselamatan yang mana sekiranya berlaku, ia mampu memberi kesan buruk kepada keselamatan sesebuah negara.

Sebelum kemunculan terorisme alaf baru, bentuk ancaman keganasan di rantau ini adalah lebih bersifat domestik yang menyaksikan kewujudan kumpulan pemberontak dan separatist khususnya di Selatan Thailand dan Selatan Filipina sejak 1960an. Selepas 1990an, corak ini berubah daripada fasa ancaman domestik kepada fasa ancaman global. Antara faktor yang mendorong kepada transisi ini adalah disebabkan pengaruh isu semasa antarabangsa yang mempengaruhi masyarakat tempatan untuk menyokong sesuatu tindakan pengganas antarabangsa dan seterusnya turut menyertainya. Hal ini jelas berlaku selepas kemunculan AlQaeda dan militan IS yang menggunakan naratif memperjuangkan masyarakat Islam tertindas sebagai modul propaganda untuk mendapatkan sokongan umat Islam di seluruh dunia.

Transisi keganasan moden juga mempunyai kaitan dengan hubungan dan kerjasama kumpulan pengganas dengan kumpulan jenayah transnasional. Kumpulan pemberontak dan pengganas seperti Pejuang Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan senjata api yang berpusat di Thailand dengan menjadikan Phuket sebagai transit penyeludupan. Selain itu, sindiket pemalsuan dokumen.

Perubahan corak keganasan juga dilihat mempengaruhi corak dan kaedah serangan pengganas pada ketika ini. Dengan pengaruh jihad dan doktrin radikal ekstremis mendorong anggota pengganas untuk melakukan serangan ke atas „musuh‟ mereka dengan serangan berasaskan lone-wolf, IED, serangan berani mati, serangan menggunakan bom paip, bom buku dan serangan bio-toksin, yang menyasarkan bangunan kerajaan, kem tentera, balai polis, rumah ibadat, pusat hiburan dan pusat membeli-belah. Serangan sedemikian lebih bermotifkan kepada near dan far enemy bertujuan untuk mempengaruhi keputusan kerajaan antara lainnya untuk menghentikan kempen anti-keganasan.

Isu keganasan antarabangsa adalah merupakan suatu perkara yang dikaitkan dengan konsep Clash of Civilisation atau pertembungan budaya yang diasaskan oleh pemikir, Samuel Huttington.6 Selepas tamatnya Perang Dingin pada 1989 dan keruntuhan Soviet Union serta Eropah Timur pada tahun 1991, fenomena keganasan melibatkan kumpulan militan Islamis muncul dan dilihat sebagai ancaman terkini. Kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda dan IS adalah bukti kepada konsep ini yang mana kedua-dua organisasi pengganas ini menyifatkan dominasi barat ke atas dunia Islam adalah satu permasalahan dan tanggungjawab yang perlu ditentang sepenuhnya oleh umat Islam.

Faktor fundamentalis yang diketengahkan oleh militan Islamis banyak mempengaruhi pemikiran golongan-golongan radikal Islam seumpama Abu Bakar Ba‟asyir (bekas Amir Majlis Mujahidin Indonesia (MMI).7 Dalam aspek ini, ulama fundamentalis menyifatkan bahawa sistem perundangan dan demokrasi adalah undang-undang ciptaan manusia yang perlu ditolak kerana dianggap sebagai „bidaah‟ dan tidak berlandaskan Undang-Undang Syariah. Sentimen ini berasaskan daripada pengaruh penulisan ahli falsafah radikal seperti Sayyid Qutb, Al-Maududi dan Nabhani melalui konsep Daulah ataupun Khilafah Islamiyah.8 Selain itu, golongan fundamentalis ini juga bersifat eksklusif dan menolak semua aspek luar dari lingkungan AlQuran dan hadis untuk diserapkan ke dalam sistem politik negara Islam kerana bimbang percampuran sedemikian akan menggagalkan matlamat politik mereka. Kegagalan mencapai matlamat fundamentalis dilihat mendorong mereka untuk membenarkan tindakan keganasan ke atas pihak-pihak sasaran termasuk orang awam dan juga kepentingan barat. Pengaruh radikal ekstremis golongan fundamentalis adalah merbahaya dan berupaya mengancam keselamatan sesebuah negara yang memiliki populasi multi-etnik dan mengamalkan konsep demokrasi.

Permasalahan utama yang dihadapi oleh setiap negara yang berhadapan dengan isu keganasan moden adalah kelemahan dari aspek menangani ideologi, menghalang dan menghentikan sokongan orang awam kepada kumpulan pengganas. Ini kerana kumpulan pengganas berupaya memanipulasikan perjuangan yang dibawa dengan menyatakan ia sebagai satu tindakan yang mulia dan menguntungkan. Medium indoktrinasi dilakukan melalui pelbagai platform sama ada Internet dan media massa. Pengganas juga menyebarkan ideologi kebencian dan kekecewaan terhadap pihak pemerintah serta pihak lain kerana gagal mencapai matlamat politik yang diidamkan. Keganasan adalah jalan terakhir untuk menjustifikasikan matlamat politik kumpulan pengganas.

Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron dan Lailatul Afizdha Arip, Sel Keganasan, Direktorat Analisis, BSPP

IKUTI KAMI 👇

https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments