EMPAT KANAK-KANAK ANTARA KORBAN LETUPAN BOM TEPI JALAN



KANDAHAR, 11 Jun : Sekurang-kurangnya enam orang maut apabila kenderaan mereka menjadi sasaran letupan bom yang ditanam di tepi jalan di selatan Afghanistan.
.
Ia adalah keganasan terbaru melanda negara itu selepas diselubungi konflik berdarah sejak beberapa dekad lalu.
.
Menurut jurucakap polis wilayah, Qasim Afghan, kenderaan itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari daerah Dand di Kandahar ke ibu negeri wilayah berkenaan apabila sebutir bom meletup berhampiran, membunuh kesemua penumpang serta pemandu.
.
“Empat kanak-kanak iaitu dua lelaki dan dua perempuan adalah antara mangsa yang maut. Mereka semua daripada satu keluarga,” katanya.
.
Gabenor daerah Dand, Haji Abdullah berkata, bahan letupan terbabit ditanam pihak Taliban di laluan yang sering digunakan pasukan keselamatan Afghanistan dan penduduk asing.
.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab setakat ini dan puak Taliban juga gagal dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.
.
Pemberontak bagaimanapun sering meletakkan bahan letupan di tepi jalan dan menggunakan periuk api untuk disasarkan kepada pasukan keselamatan namun pada masa sama, ia turut meragut nyawa orang awam. – AFP
.
Kredit: AFP melalui BH Online – 11 Jun 2019



Comments